WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TAKUT GELOMBANG KEDUA, PENDUDUK PANTAI SABAK HANYA MAMPU KEMAS ALA KADAR

01/12/2025 03:21 PM

KOTA BHARU, 1 Dis (Bernama) -- Kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir menyebabkan penduduk di Kampung Pantai Sabak hanya membersihkan kediaman mereka secara ala kadar setakat ini.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati kebanyakan penduduk memilih untuk menjemur pakaian dan mengurus barang-barang penting terlebih dahulu bagi memberi ruang mereka berehat selepas berdepan banjir sejak beberapa hari lepas.

Fatimah Zakaria, 51, berkata beliau sudah lali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang lebih 32 tahun menetap di kampung itu, namun banjir kali ini meninggalkan kesan lebih besar apabila air naik dengan cepat dan deras hingga mencecah paras lutut di rumahnya.

“Setakat ini saya hanya kemas mana yang perlu. Saya tidak mahu melakukan pembersihan secara menyeluruh kerana bimbang berlaku gelombang kedua.

“Kalau banjir datang lagi, penatnya berganda. Jadi, lebih baik tunggu cuaca benar-benar stabil barulah saya bersihkan keseluruhan rumah,” katanya.

Fatimah yang juga ibu tunggal berkata beliau bersama dua anaknya Mohd Hanafi Abdullah, 30, dan Mohd Hakim Abdullah, 18, terpaksa berada di PPS selama lima hari sebelum kembali ke rumah pada Jumaat lepas.

“Beberapa peralatan seperti almari serta lantai rumah rosak akibat banjir. Saya bercadang menukar lantai papan kepada simen awal tahun depan kerana tidak sanggup lagi menanggung kerugian berulang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zulkharmin Ibrahim, 29, berkata walaupun cuaca menunjukkan tanda-tanda baik sejak pagi, penduduk Pantai Sabak tetap mengambil langkah berjaga-jaga kerana kawasan itu sering berdepan banjir setiap tahun.

Beliau berkata gelombang pertama baru-baru ini menyebabkan rumah yang didiami bersama bapanya Ibrahim Che Mat, 66, dinaiki air sehingga paras paha manakala kawasan sekitar turut ‘terkepung’ air.

“Sebaik air surut, saya terus membersihkan dapur dan persekitaran rumah selain mengalihkan barang-barang penting seperti dokumen, televisyen dan peti sejuk ke tempat lebih tinggi.

“Walaupun penat, kami perlu sentiasa berjaga-jaga kerana banjir boleh berlaku dalam sekelip mata jika berlaku air pasang dan hujan berterusan,” katanya.

Penghulu Mukim Sabak Mohd Abdul Bashir Zakaria pula berkata sebanyak 324 penduduk membabitkan 112 keluarga terjejas dalam banjir kali ini.

“Paras air meningkat dengan cepat kerana hujan berterusan hampir seminggu dan berlaku air pasang besar. Jika tahun lepas pemindahan dapat dilakukan lebih tersusun, kali ini semua penduduk terpaksa dipindahkan pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut membuat persediaan rapi termasuk menyediakan kelengkapan dan keperluan mangsa di PPS Sabak sekiranya gelombang kedua banjir berlaku.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan