WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AIRBORNEO MULAKAN OPERASI JANUARI INI

02/12/2025 03:16 PM

KUCHING, 2 Dis (Bernama) -- AirBorneo dijangka memulakan operasi bulan tahun menggunakan rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) sedia ada di Sarawak, Sabah dan Labuan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata syarikat penerbangan itu dirancang untuk berkembang kepada operasi pesawat serantau menjelang akhir tahun depan, bergantung kepada ketersediaan pesawat, pengagihan slot lapangan terbang dan kelulusan pihak berkuasa.

"Pengambilalihan MASwings Sdn Bhd dijangka selesai menjelang 31 Dis 2025 susulan Perjanjian Jual Beli Saham yang ditandatangani pada 12 Feb 2025,” katanya semasa sesi penggulungan bagi kementerian itu pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata pada 21 Ogos lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melancarkan logo Wing of Unity AirBorneo dengan slogan Borneo for You yang mencerminkan identiti Bumi Kenyalang dan visi untuk memperkukuh kesalinghubungan.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata kesalinghubungan antarabangsa Sarawak terus berkembang dengan pelancaran perkhidmatan sewa khas dari Haikou, China ke Kuching oleh 9Air manakala perkhidmatan sewa khas dari Shenzhen, China ke Kuching oleh Loong Air dijadualkan bermula tidak lama lagi.

”Kementerian saya akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan agensi rakan kongsi bagi mendapatkan lebih banyak laluan antarabangsa secara terus sekali gus meningkatkan kesalinghubungan global Sarawak serta memperluas peluang ekonomi untuk Bumi Kenyalang,” katanya.

Lee berkata setakat suku ketiga tahun ini, Sarawak mencatat sejumlah 112,625 pergerakan pesawat dan 9.07 juta penumpang yang mewakili peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tempoh sama pada 2024. 

Beliau berkata sepanjang tempoh sama, Sarawak mengendalikan 49,895 tan kargo udara yang mencatat peningkatan ketara sebanyak 15 peratus berbanding 42,381 tan yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

”Sarawak juga menerima 51 penerbangan antarabangsa secara mingguan dan purata 551 penerbangan domestik dari negeri lain di Malaysia. 

”Kuching terus menjadi pintu masuk utama dengan 268 penerbangan mingguan diikuti Miri (144), Sibu (79), Bintulu (48), Limbang (tiga), Lawas (dua) dan Mulu (tujuh),” katanya.

Lee juga berkata dalam Sarawak, purata 684 penerbangan mingguan menghubungkan bandar utama dan kawasan luar bandar di bawah RAS dengan Miri mengendalikan 190 penerbangan diikuti Kuching (164), Sibu (69) dan Bintulu (59).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan