WILAYAH - TENGAH > BERITA

PMKS CATAT JUALAN LEBIH US$270 BILION MENERUSI SHOPEE, BUKTI E-DAGANG PACU EKONOMI

03/12/2025 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Kalangan penjual atau peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Asia Tenggara dan Taiwan, berjaya mencatat jualan bernilai lebih US$270 bilion menerusi Shopee sejak pelancaran platform e-dagang itu pada 2015.

Dalam kenyataannya hari ini, Shopee berkata pencapaian itu membuktikan peranan e-dagang dalam memacu pertumbuhan perniagaan serta mewujudkan peluang ekonomi.

Pada masa sama, jumlah usahawan PMKS di platform itu meningkat dua kali ganda secara purata setiap tahun dengan kira-kira 80 peratus daripadanya beroperasi di luar bandar utama dan memanfaatkan Shopee untuk meraih pembeli baharu dalam pasaran domestik masing-masing serta merentasi rantau ini.

Setakat ini, katanya, lebih 7.6 juta peniaga PMKS telah mengikuti program pembelajaran di Shopee University yang merangkumi lebih 1,500 modul dalam talian dan bengkel fizikal di 318 bandar merentasi Asia Tenggara dan Taiwan.

Ketua Pegawai Operasi Shopee Terence Pang berkata tempoh sedekad lepas memperlihatkan perubahan besar dalam landskap perniagaan apabila ekonomi digital membuka peluang kepada rakyat dan PMKS untuk berkembang serta mencapai kejayaan lebih besar melalui e-dagang.

PMKS juga bertindak menyesuaikan diri dengan menggunakan ekosistem kandungan dan ciri Shopee seperti Shopee Live dan Shopee Video yang mencatat peningkatan pesanan lebih 300 peratus, membolehkan mereka berinteraksi dengan pelanggan secara lebih mendalam.

“Penjual tanpa pengalaman pemasaran juga boleh mengembangkan pelanggan mereka melalui Shopee Affiliate Marketing Solutions yang menyumbang kepada peningkatan pesanan sebanyak 30 peratus dalam pesanan dengan kerjasama pencipta kandungan dan pempengaruh,” katanya.

Bagi pengembangan perniagaan merentasi sempadan, lebih 2.1 juta PMKS telah menyertai Program Eksport Shopee sejak 2018 untuk meluaskan capaian mereka di pelbagai pasaran serantau.

Pengguna dari lebih 400 bandar di Asia Tenggara dan Taiwan juga kerap membeli-belah di platform itu dengan lebih 140 bilion barangan dibeli oleh pelanggan di luar bandar-bandar utama.

Ini, katanya, membuktikan e-dagang dapat merapatkan jurang geografi dan menyokong akses kepada ekonomi digital yang lebih inklusif.

“Pertumbuhan ekonomi digital juga menyokong peluang pekerjaan dan pendapatan tempatan apabila lebih 97 peratus kakitangan Shopee merangkumi bakat tempatan dan lebih 23 juta rakan serta pencipta kandungan di Asia Tenggara dan Taiwan menyertai Program Afiliasi Shopee untuk membina sumber pendapatan alternatif.

“Setakat ini, pendapatan afiliasi meningkat lebih 90 peratus secara purata setiap tahun yang membantu ramai individu membentuk aliran pendapatan baharu dan mampan,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-10, Shopee turut melancarkan “dokuseri” baharu bertajuk “Shopee: Menjaga Warisan Budaya” yang menampilkan kisah penjual tempatan yang membina perniagaan dalam talian sambil memelihara keunikan budaya mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan