WILAYAH - TENGAH > BERITA

PENGELUARAN MINYAK MENTAH, KONDENSAT DAN GAS ASLI MENINGKAT PADA SUKU KETIGA - DOSM

03/12/2025 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pengeluaran minyak mentah, kondensat dan gas asli Malaysia mencatat pertumbuhan positif pada suku ketiga 2025, masing-masing sebanyak 45.1 juta tong dan 737.0 bilion kaki padu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan pengeluaran minyak mentah sebanyak 7.0 peratus dalam suku ketiga 2025 dicapai selepas susut empat suku berturut-turut berbanding 2.2 penurunan dalam suku sebelumnya.

Dalam kenyataan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli Suku Ketiga 2025 hari ini, beliau berkata pengeluaran kondensat turut mencatat pertumbuhan positif kepada 9.7 peratus (suku kedua 2025: -1.2 peratus) selepas tiga suku berturut-turut menyaksikan pertumbuhan negatif.

“Pengeluaran gas asli mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 11.8 peratus (suku kedua 2025: -8.0 peratus) selepas turun dua suku berturut-turut yang menjadikan jumlah pengeluaran gas sebanyak 737.0 bilion kaki padu (suku kedua 2025: 640.9 bilion kaki padu),” katanya.

Mohd Uzir berkata harga purata “Lifting” Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat di

Malaysia meningkat kepada US$71.9 setong pada suku ketiga 2025 berbanding US$70.4 setong pada suku sebelumnya. (US$1 = RM4.13)

Peningkatan itu, katanya, adalah sejajar dengan harga penanda aras global, iaitu West Texas Intermediate yang meningkat kepada US$65.7 setong daripada US$64.6 manakala minyak mentah Brent mencecahUS$69.0 setong daripada US$68.0 setong.

Mengulas prestasi perdagangan luar, Mohd Uzir berkata nilai eksport petroleum mentah dan kondensat mencapai RM5.3 bilion pada suku ketiga 2025.

“Thailand mendominasi eksport Petroleum mentah dan kondensat sebanyak RM1.8 bilion atau 34.6 peratus daripada jumlah keseluruhan dan diikuti oleh Australia (21.5 peratus) dan Jepun (20.9 peratus),” katanya.

Nilai eksport keluaran keluaran petroleum bertapis pula meningkat kepada RM23.8 bilion berbanding RM22.7 bilion pada suku sebelumnya manakala nilai eksport LNG meningkat kepada RM12.2 bilion pada suku

ini berbanding RM10.3 bilion pada suku kedua 2025.

Selain itu, Mohd Uzir berkata nilai import petroleum mentah dan kondensat mencatat RM16.0 bilion pada suku ketiga 2025 daripada RM12.9 bilion pada suku kedua 2025.

“Emiriah Arab Bersatu menjadi negara asal utama dengan menyumbang 26.5 peratus dan diikuti oleh

Arab Saudi (22.2 peratus) dan Oman (18.4 peratus),” katanya.

Nilai import keluaran petroleum bertapis pula sebanyak RM24.1 bilion daripada RM22.0 bilion pada suku kedua manakala nilai import LNG susut kepada RM1.3 bilion daripada RM1.5 bilion dalam suku kedua 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan