WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA 2025: KECEDERAAN HALANG SHEREEN PERTAHAN EMAS DI THAILAND

03/12/2025 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pelari 400 meter (m) wanita negara Shereen Samson Vallabouy terpaksa melupakan penampilan pada Sukan SEA 2025 di Thailand, sekali gus meleburkan impian mempertahankan pingat emas dalam acara itu ekoran kecederaan hamstring.

Shereen, yang memegang rekod kebangsaan acara 400m dengan catatan 51.79 saat berkata beliau tiada pilihan lain selain menarik diri selepas pemeriksaan perubatan menunjukkan beliau tidak akan pulih tepat pada masanya untuk menghadapi temasya dwitahunan itu.

Atlet berusia 27 tahun itu mengakui keputusan berkenaan amat menyedihkan, terutama kerana beliau telah banyak menghabiskan masa untuk memikirkan pilihan yang ada.

“Sedikit sedih tetapi tidak mengapa, kena teruskan... akan ada banyak kejohanan utama tahun depan. Jadi, jika kembali (bertanding di Sukan SEA 2025), proses pemulihan perlu lebih lama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selepas tidak lagi berpeluang pertahanan gelaran pada Sukan SEA, atlet kelahiran Ipoh itu akan menumpukan perhatian kepada kalendar padat 2026 termasuk Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun.

Selain acara 400m, Shereen sepatutnya beraksi dalam acara 4x100 meter wanita, 4x400 meter wanita dan 4x400 meter campuran di Thailand.

Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan