WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA PAMER CITRAWARNA DI PARIS SEMPENA PELANCARAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

04/12/2025 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Paris pada Selasa menganjurkan malam "Citrawarna Malaysia: A Symphony of Cultures" (Citrawarna Malaisie: Une Symphonie de Cultures) bersempena pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam satu kenyataan, kedutaan memaklumkan bahawa majlis pelancaran disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim dan berjaya menarik kunjungan lebih 260 tetamu termasuk pemain industri pelancongan Perancis, pertubuhan seni dan budaya, media tempatan, kor diplomatik serta masyarakat di Perancis.

“Citrawarna Malaysia diraikan dengan penuh meriah menerusi pelbagai persembahan yang menonjolkan kekayaan warisan budaya Malaysia.

“Antara persembahan yang disajikan ialah demonstrasi silat Gayung Fatani oleh Silat Culture, tarian tradisional seperti zapin, joget dan gabungan tarian tradisional oleh On Stage Productions, serta pertunjukan fesyen oleh pereka Malaysia Lynda Chew,” menurut kenyataan itu.

Menurut kedutaan, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan sape oleh Eugene Kuek dan kehadiran pelukis karikatur Olhairy Othman, selain pameran fotografi bertajuk “Short Stories vol.1 – Penang: in between light” oleh Kenneth Foo yang menyerikan lagi suasana malam itu.

“Sebagai acara istimewa, duta sendiri turut membuat persembahan silat dan menyertai pertunjukan fesyen, sekali gus menunjukkan sokongan beliau terhadap seni Malaysia dan mengetengahkan bakat Malaysia di bumi Perancis,” menurut kenyataan itu.

Bagi memperkenalkan citarasa Malaysia, para tetamu turut dihidangkan pelbagai juadah tradisional termasuk popia, karipap, pulut kuning, seri muka, bingka ubi kayu dan talam suji, serta minuman ikonik negara, teh tarik.

Kedutaan juga berkata antara penaja utama, Malaysia Airlines membawa sentuhan Malaysia ke Paris melalui tajaan tiket penerbangan bagi kumpulan persembahan budaya yang dibawa khas dari Malaysia, selain menyumbang hadiah cabutan bertuah pada malam itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan