BALIK PULAU, 4 Dis (Bernama) -- Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya pada Ogos lepas.
Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Hanis Sofea Hamdan, 28, dengan menggunakan sebilah pisau di rumah mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara pada 5.45 pagi 27 Ogos lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Asma' 'Amirah Shahidani memaklumkan mahkamah bahawa laporan psikiatri tertuduh telah siap dan diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini.
Beliau tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin selain untuk menjaga keselamatan mangsa.
Peguam Muhaimin Hashim, yang dibantu oleh Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan, pula memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan jaminan kerana Muhammad Nazmi Izzuddin masih bekerja sebagai guru serta berisiko ditamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam sekiranya tidak dijamin.
Beliau berkata anak guamnya telah menerima rawatan psikiatri bagi major depressive disorder atau kemurungan, dan dibekalkan ubat termasuk antidepresan iaitu mirtazapine oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
“Jika tertuduh dijamin, dia bersedia mematuhi syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis terdekat,” katanya.
Ahzal Fariz kemudian membenarkan Muhammad Nazmi Izzuddin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri sekali sebulan di balai polis terdekat, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding berjalan.
Mahkamah menetapkan 6 Jan 2026 untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial