WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LANGKAH PENCEGAHAN, BANTUAN DAN SIASATAN BERTERUSAN BERKAITAN KEBAKARAN DI HONG KONG

04/12/2025 02:08 PM

HONG KONG, 4 Dis (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan Hong Kong pada Rabu mengarahkan semua perancah yang digunakan dalam projek penyelenggaraan bangunan di seluruh Hong Kong dibuka dalam tempoh tiga hari bagi pemeriksaan keselamatan kebakaran susulan kebakaran maut di kompleks perumahan Wang Fuk Court, lapor Xinhua.

Bahan yang ditanggalkan akan dibenarkan digunakan semula selepas mendapat kelulusan berdasarkan garis panduan keselamatan baharu yang akan dikeluarkan kerajaan minggu depan, kata Setiausaha Pembangunan Hong Kong Bernadette Linn.

Kebakaran itu meragut 159 nyawa setakat Rabu, dengan 31 lagi masih hilang, menurut Pasukan Polis Hong Kong pada sidang media awal Rabu.

Sejumlah 140 mayat dikenal pasti, kata polis, sambil menambah bahawa mangsa berusia antara satu hingga 97 tahun.

Polis telah menamatkan pencarian mayat di semua tujuh bangunan yang terjejas, dan akan meluaskan pencarian ke kawasan sekitar bagi mengesan saki-baki mayat di bawah perancah yang runtuh dalam kebakaran.

Usaha ini melibatkan kerja-kerja membuka perancah dan mengalihkan abu secara berhati-hati, yang memerlukan masa tambahan, menurut polis.

Pada Selasa, polis menahan enam individu yang dikaitkan dengan kontraktor bertanggungjawab memasang peralatan keselamatan kebakaran, atas dakwaan menipu jabatan perkhidmatan bomba dengan mendakwa penggera api di bangunan Wang Fuk Court akan berfungsi ketika penyelenggaraan.

Polis turut memulakan siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen berkaitan penggunaan bahan pengubahsuaian bangunan.

Dalam usaha membantu mereka yang terjejas akibat kebakaran, kerajaan Hong Kong sedang melaksanakan pelepasan cukai dan pengecualian bayaran tertentu. Data tempatan menunjukkan bahawa sehingga tengah hari Rabu, dana bantuan bencana untuk penduduk Wang Fuk Court telah mengumpul sebanyak HK$2.4 bilion (kira-kira US$308 juta).

Pejabat Kerja Hong Kong dan Macau di bawah Jawatankuasa Pusat China pada Rabu terus memastikan penghantaran bekalan bantuan bencana, termasuk gogal pelindung dan sarung tangan kalis air yang diperlukan kerajaan Hong Kong.

Bekalan sebelum ini dari tanah besar China termasuk peralatan lampu kecemasan yang membantu polis dalam pencarian mayat.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan