WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU TANAH LADANG: HASIL MESYUARAT FELDA, FGV DIBENTANGKAN DI KABINET ESOK - TPM AHMAD ZAHID

04/12/2025 12:26 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Resolusi berhubung isu 10 ladang FGV Holdings Bhd (FGV) yang dikenakan notis larangan menceroboh oleh kerajaan Terengganu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV sedang bermesyuarat hari ini bagi membincangkan saranan, cadangan serta penyelesaian berhubung isu berkenaan.

"Sekarang ini sedang berlangsung mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA dan FGV. Saya sendiri akan membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Saya yakin beberapa saranan dan cadangan daripada mesyuarat Lembaga Pengarah akan disampaikan kepada saya, dan saya akan bentangkan esok bagi membolehkan beberapa langkah tindakan segera dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Ditanya mengenai keperluan mewujudkan pasukan khas bagi meneliti isu terbabit supaya tidak berulang di negeri lain, Ahmad Zahid berkata tiada keperluan berbuat demikian.

"Saya tidak nampak ada masalah kerana perkara ini boleh dibawa ke Majlis Tanah Negara serta dibincangkan bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri. Lazimnya, isu sebegini diselesaikan di peringkat itu, bukan melalui tindakan undang-undang atau pengosongan premis.

"Segala-galanya boleh dirundingkan walaupun negeri terbabit tidak sealiran dengan Putrajaya," katanya.

Ditanya mengenai bila beliau akan bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membincangkan isu ini, Ahmad Zahid berkata tarikh masih belum ditetapkan.

"Saya dan beliau belum menetapkan tarikh lagi dan Insya-Allah secepat mungkin," katanya.

Pada Ahad lepas, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu, selepas mendakwa selama lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.

Pada 2 Dis lepas, FELDA dan FGV dalam kenyataan bersama memaklumkan proses semakan menyeluruh sedang dijalankan ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu notis amaran kerajaan Terengganu ke atas ladang milik agensi dan anak syarikat itu.

Proses semakan itu merangkumi sejarah ladang, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik dan syarat-syarat pembangunan ladang.

Langkah itu susulan notis amaran pendudukan secara tidak sah dan kesalahan menceroboh yang dikeluarkan ke atas ladang lot FELDA dan FGV di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman pada 30 Nov, 1 Dis dan 2 Dis. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan