WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MTVET: JAWATANKUASA INTERIM DATA RAYA DITUBUHKAN, PERKUKUH PENYELARASAN NASIONAL

04/12/2025 06:14 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) hari ini bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Interim Data Raya TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) sebagai struktur penyelarasan nasional yang lebih berautoriti dan mampan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata penubuhan jawatankuasa itu penting susulan projek pembangunan Data Raya TVET di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang telah berjaya menyatukan data daripada 12 kementerian dalam sebuah pangkalan bersepadu sebagai Rujukan Nasional TVET.

"Melalui jawatankuasa ini, tadbir urus pengumpulan, pengemaskinian dan perkongsian data akan dilaksanakan secara lebih sistematik, bersepadu dan mematuhi piawaian nasional," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu, di sini hari ini 

Ahmad Zahid berkata langkah itu sekali gus membuka ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pendekatan membuat keputusan berpacukan data dalam semua aspek perancangan TVET termasuk penyelarasan kursus, unjuran pasaran kerja, pembangunan kurikulum, pemetaan bakat dan penggubalan dasar.

"Penubuhan jawatankuasa ini turut memastikan kesinambungan fasa kedua pembangunan Data Raya TVET dalam RMK13, yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem analitik TVET nasional bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta keberhasilan TVET di akar umbi," katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut mengambil maklum kejayaan TVET Tahfiz yang kini diperkasakan menerusi program Hi-TVET dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama agensi pusat, industri dan institusi pendidikan Islam. 

"Program ini meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz, disokong pencapaian seperti kemenangan Worldskills ASEAN 2025 dan pengembangan inisiatif 'techo-huffaz', dengan peruntukan berterusan termasuk RM5 juta bagi 2025," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata TVET Penjara Malaysia juga menunjukkan impak besar dalam pemulihan warga penjara dengan lebih 19,000 peserta dilatih sejak 2012. 

"Pengiktirafan dalam dan luar negara serta pelaksanaan model baharu Skills for Prospect (S4P) membuktikan peranan TVET sebagai instrumen pemerkasaan sosial," katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata GiatMARA melaporkan kejayaan Program Pemerkasaan TVET Tahfiz dan Program Kemahiran Pekerja Industri Gig yang melepasi sasaran penyertaan, meningkatkan pendapatan peserta dan memperluas akses latihan melalui unit latihan mudah alih yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 11,000 peserta sehingga 2027. 

"Secara keseluruhan, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini membuktikan kesungguhan kerajaan mengangkat TVET sebagai agenda nasional yang merentasi kementerian, wilayah dan sempadan sosial. 

"Dengan pendekatan bersepadu, berasaskan data dan berorientasikan masa depan, kerajaan yakin ekosistem TVET negara akan terus diperkukuh untuk melahirkan tenaga mahir yang kompetitif, berdaya saing dan bersedia memacu aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi maju berasaskan kemahiran," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan