WILAYAH - TIMUR > BERITA

41 KAMPUNG DI TERENGGANU DIRAMAL BANJIR SUSULAN FENOMENA AIR PASANG BESAR - JPS

04/12/2025 12:45 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak 41 kampung yang terletak di 12 muara sungai di Terengganu dijangka dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang diramal bermula hari ini hingga 10 Dis.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu Osman Abdullah berkata limpahan air laut di pesisir pantai dan muara boleh menyebabkan banjir di kampung berhampiran dan tepi pantai sekiranya hujan berlaku serentak dengan kejadian air pasang.

Beliau berkata di daerah Kuala Terengganu lokasi berisiko ialah Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai, Taman Purnama, Kampung Pulau Rusa, Kampung Sekati dan Kampung Pulau Ketam manakala di daerah Kuala Nerus melibatkan Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu dan Kampung Tanjung Gelam.

"Di daerah Dungun kawasan dijangka terjejas ialah Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kg Che Lijah, Kampung Alor Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sura, Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah dan Kampung Durian Mentangau.

"Di daerah Marang pula lokasi dijangka dinaiki air ialah Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Mercang, Kampung Pulau Rusa Baru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Osman berkata di daerah Setiu pula lokasi diramalkan terjejas ialah Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikiri dan Kampung Telaga Papan.

Selain itu, beliau turut menyenaraikan empat lokasi di daerah Kemaman yang dijangka terjejas iaitu Pulau Skepeng, Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Baru Kemasik.

"Di daerah Besut kawasan terlibat ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk di kawasan terlibat supaya berwaspada dengan perkembangan cuaca dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan, Terengganu, Sabah, Johor, Pahang dan Sarawak bermula 5 hingga 8 Dis ini.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan