WILAYAH - TENGAH > BERITA

RUU AKTA 652 PERKENAL TIGA SIJIL PAKAR, CETUS REVOLUSI TVET NEGARA

04/12/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 [Akta 652] yang diluluskan Dewan Rakyat semalam, memperkenalkan tiga sijil pakar nasional bagi mengiktiraf kepakaran tenaga mahir tempatan buat kali pertama, serta merupakan revolusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan tiga kategori baharu itu ialah Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran yang diwujudkan khusus untuk menilai dan mengiktiraf pengalaman serta kepakaran tenaga mahir tempatan mengikut piawaian antarabangsa.

“Akta 652 yang berkuat kuasa hampir dua dekad kini diperkukuh melalui 15 fasal pindaan bagi memperluas pengiktirafan kemahiran dan meningkatkan kualiti penyedia latihan. Pindaan ini memastikan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kekal relevan dan responsif terhadap keperluan industri baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi hijau dan semikonduktor,” menurut kenyataan itu.

Pindaan itu turut memperkukuh tadbir urus TVET melalui peluasan keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) dengan penyertaan kementerian berkaitan serta Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bagi memastikan dasar dan hala tuju kemahiran dipandu kepakaran teknikal sebenar.

Selain itu, JPK kini boleh mengiktiraf program latihan di luar Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) termasuk latihan frontier seperti AI, automasi, semikonduktor dan teknologi hijau bagi tujuan pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Pindaan itu turut memanjangkan tempoh pentauliahan pusat latihan kemahiran dari tiga tahun kepada sehingga enam tahun selain memperkenalkan tatacara baharu penggantungan dan pembatalan pentauliahan bagi meningkatkan integriti penyedia latihan.

Ia juga memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan fleksibel pembelajaran sepanjang hayat melalui micro-credential kos rendah sekali gus menyokong usaha kerajaan mengangkat TVET sebagai pendidikan arus perdana dan hab kemahiran serantau menjelang 2030.

Dalam kenyataan berasingan, KESUMA memaklumkan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640] yang turut diluluskan semalam, bertujuan memperkukuh mekanisme pembiayaan latihan kemahiran negara termasuk pemantapan tadbir urus PTPK bagi memastikan akses lebih luas kepada latihan berkualiti.

“Langkah ini membolehkan lebih ramai rakyat mengakses latihan berkualiti termasuk program di luar konteks standard kompetensi kebangsaan iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang mempunyai permintaan tinggi oleh industri. Reformasi ini memastikan PTPK berfungsi secara mampan, telus dan inklusif,” menurut kenyataan itu.

Antara teras utama pindaan termasuk perluasan Pinjaman Latihan Kemahiran dan Bantuan Kewangan kepada program latihan lain diiktiraf JPK disertai proses kelulusan serta kawalan bantuan kewangan lebih telus, selain pengukuhan tindakan penguatkuasaan merangkumi had masa tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar.

KESUMA memaklumkan kelulusan pindaan Akta 640 dan Akta 652 membolehkan penyelarasan sistem pembangunan dan pembiayaan kemahiran negara dilaksanakan lebih seragam sekali gus melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten serta memenuhi keperluan industri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan