WILAYAH - UTARA > BERITA

CHINA SOUTHERN TAMBAH PENERBANGAN HARIAN BAGI LALUAN GUANGZHOU-PULAU PINANG

04/12/2025 04:29 PM

GEORGE TOWN, 4 Dis (Bernama) -- China Southern Airlines akan meningkatkan penerbangan terus Guangzhou–Pulau Pinang daripada dua kepada tiga perkhidmatan harian bermula 28 Disember, sekali gus mengukuhkan kesalinghubungan udara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata pengembangan itu menjadikan China Southern sebagai syarikat penerbangan China yang pertama mengendalikan tiga penerbangan terus harian ke Pulau Pinang, sekali gus satu peristiwa penting dalam hubungannya dengan selatan China.

“Ketika kita bersedia untuk menyambut ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026, pengembangan itu amat tepat pada masanya.

“Dengan adanya penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou, iaitu salah satu daripada tiga hab penerbangan utama China, Pulau Pinang mampu meningkatkan kehadiran dan mengukuhkan daya saing dalam pasaran selatan China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tiket bagi penerbangan baharu itu kini boleh diperoleh menerusi laman web rasmi China Southern Airlines.

Dalam pada itu, penerbangan tambahan baharu itu, iaitu CZ5047, yang beroperasi setiap hari, berlepas dari Guangzhou pada 1.55 petang dan tiba di Pulau Pinang pada 6 petang.

Ia melengkapi perkhidmatan sedia ada yang berlepas pada 5.05 petang (tiba pada 9 malam) dan 6.45 petang (tiba pada 10.45 malam). 

Sementara penerbangan keluar dari Pulau Pinang-Guangzhou, iaitu CZ5048, akan berlepas setiap hari dari Pulau Pinang pada 7 malam, tiba di Guangzhou pada 10.50 malam, selain waktu berlepas sedia ada pada 9.05 pagi dan 11.55 malam. 

“Dengan adanya penerbangan tambahan ini, pelancong akan menikmati rangkaian waktu penerbangan yang lebih fleksibel, menjadikannya lebih mudah berbanding sebelum ini untuk merancang perjalanan dengan lancar dan diperibadikan,” kata Wong. 

Beliau menambah peningkatan kekerapan itu mencerminkan permintaan yang tinggi dan menunjukkan peningkatan populariti Pulau Pinang dalam kalangan pelancong dari Guangzhou dan selatan China, susulan tarikan alam semulajadi, warisan, budaya dan makanan, selain perkhidmatan perubatan bertaraf dunia yang terus menarik minat pelancong China. 

“Status Guangzhou sebagai hab penerbangan utama dengan kesalinghubungan merentasi benua menyediakan transit yang mudah kepada pelancong dari bandar yang tidak mempunyai akses terus ke Pulau Pinang. 

“Peningkatan kekerapan antara Guangzhou-Pulau Pinang daripada dua kepada tiga penerbangan harian bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti tetapi juga mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pintu masuk bagi pelancong percutian, pelawat perubatan, delegasi perniagaan dan program pertukaran budaya,” katanya. 

Penerbangan terus dari bandar-bandar utama China ke Pulau Pinang kini akan menyediakan 79 perkhidmatan mingguan, termasuk masing-masing 21 dari Guangzhou dan Hong Kong, 14 dari Shanghai, masing-masing tujuh dari Shenzhen, Xiamen dan Chengdu serta dua dari Xi’an.

Wong berkata rangkaian yang diperluas itu memberikan pelancong China pilihan tanpa had, mengukuhkan tarikan Pulau Pinang dalam pasaran bandar terbesar China. 

Wong turut menekankan potensi pelancongan pada 2026, terutamanya pada tiga Minggu Emas utama, iaitu Tahun Baharu China, Hari Buruh dan Hari Kebangsaan, selain empat hujung minggu yang panjang. 

“Cuti selama sembilan hari sempena Tahun Baharu China akan datang, iaitu paling panjang dalam sejarah, menawarkan peluang luar biasa untuk percutian ke luar negara.

“Oleh itu, pengembangan China Southern kepada tiga penerbangan harian adalah sejajar dengan tempoh puncak ini, memberikan pelancong China lebih banyak kemudahan, fleksibiliti dan peluang untuk meneroka pengalaman percutian di Pulau Pinang,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan utama untuk mengembangkan kesalinghubungan di peringkat antarabangsa. 

“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti Pulau Pinang dan mengukuhkan daya saing sektor pelancongan, tetapi juga menawarkan lebih banyak kemudahan dan pilihan kepada pelancong sambil mengekalkan momentum dalam aktiviti komersial dan budaya negeri,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan