WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BUNG MOKTAR DIRAWAT DI HOSPITAL SWASTA DI KOTA KINABALU

04/12/2025 11:02 PM

KOTA KINABALU, 4 Dis (Bernama) -- Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

Perkara itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai punca bapanya dirawat.

Beliau memohon semua pihak supaya mendoakan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag itu.

Dalam perkongsian di Facebook, Naim Kurniawan berkata selaku wakil keluarga, beliau menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang telah mengadakan solat hajat serta memohon doa kepada Allah SWT demi kesihatan bapanya.

“Doa dan keprihatinan para imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan-tuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan ringkas mendoakan supaya Bung Moktar diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini. Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya, insya-Allah, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sediakala,” katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Rahman Dahlan dalam kenyataan ringkasnya turut mendoakan Bung Moktar mendapat kesembuhan segera.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati para pemimpin parti politik dan rakan-rakan Bung Moktar  berkumpul di pekarangan hospital.

Antara yang kelihatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin yang juga Setiausaha UMNO Sabah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mereka ketika ditemui selepas melawat Bung Moktar bagaimanapun enggan mengulas mengenai situasi tersebut dan hanya memohon orang ramai mendoakan kesihatan pemimpin Umno Sabah itu. 

Dalam pada itu, media sosial dibanjiri ucapan orang ramai yang mendoakan kesihatan Bung Moktar.

Ketua Penerangan Parti Warisan Datuk Mohd Azis Jamman mendoakan supaya Bung Moktar disembuhkan segera dan kuat dalam mendapatkan rawatan penyakitnya itu.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Masiung Banah berkata biarpun berbeza fahaman politik, mereka tetap sebahagian daripada rakan yang amat akrab bersama.

"Semoga beliau dianugerahkan kesihatan abadi. Doa kami turut mengiringi anggota keluarga beliau semoga dikurniakan ketenangan dan ketabahan dengan ujian Tuhan," katanya yang juga ADUN Kuamut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan