WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU KESIHATAN, PENDIDIKAN ANTARA DIBANGKITKAN AHLI DEWAN NEGARA

04/12/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan disaran memberi pendidikan kesihatan kepada rakyat bermula daripada peringkat awal lagi bagi memberi kesedaran mengenai amalan hidup sihat untuk kebaikan pada masa hadapan.

Senator Baharuddin Ahmad berkata pendidikan kesihatan perlu diberi perhatian di peringkat awal kerana apabila sudah dijangkiti penyakit kronik seperti penyakit tiga serangkai, pesakit terpaksa bergantung dengan ubat-ubatan hingga ke akhir hayat.

“Ini bermakna kerajaan terpaksa menanggung kos rawatan sampai ke akhir hayat. Contoh pesakit kanser, kos rawatan penyakit itu menelan perbelanjaan yang besar dan semakin meningkat dari semasa ke semasa yang turut ditanggung kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara yang masuk hari ketiga hari ini

Sehubungan itu, beliau berkata pendidikan kesihatan perlu merangkumi tentang pemakanan dan penjagaan kesihatan yang diamalkan sejak usia muda.

Sementara itu, Senator Mohd Hasbie Muda mengemukakan cadangan supaya kerajaan menambah baik pelan Belanjawan 2026 bagi memastikan program belia dan graduan memberi impak lebih luas.

Hal itu termasuk promosi lebih meluas untuk Program K‑Youth dan latihan industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui media sosial, portal universiti, sekolah menengah, pusat komuniti serta agensi pekerjaan.

Beliau berkata latihan yang ditawarkan perlu dijalankan secara berstruktur dengan peluang pengalaman industri sebenar atau latihan di tempat kerja, terutama dalam sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik, kecerdasan buatan dan teknologi digital supaya peserta memperoleh kemahiran praktikal selain teori.

Selain itu, kerajaan perlu memperluaskan bantuan kewangan dan insentif mobiliti, termasuk bantuan peralihan kerja, elaun latihan dan bantuan pengangkutan bagi memastikan belia dari keluarga berpendapatan rendah dapat mengambil peluang latihan tanpa halangan.

Kolaborasi antara industri, institusi pendidikan dan agensi kerajaan juga perlu diperkemaskan supaya kurikulum pendidikan selaras dengan keperluan pasaran bagi memastikan graduan bukan sahaja mahir teori tetapi juga bersedia dengan kemahiran praktikal, terutama dalam sektor seperti automasi, teknologi hijau dan digital.

Persidangan Dewan Negara bersambung pada Isnin.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan