WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JENAZAH BUNG MOKTAR SELAMAT DIKEBUMIKAN DI TANAH PERKUBURAN ISLAM KAMPUNG LIKAS

05/12/2025 05:09 PM

KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) --  Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada 2.25 petang.

Hujan gerimis turun sejurus selesai pengebumian tokoh politik yang banyak berjasa kepada rakyat Sabah itu.

Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan itu pada 1.45 tengah hari, disambut orang ramai daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dalam suasana hiba, menggambarkan kasih sayang tidak berbelah bahagi rakyat kepada beliau.

Mereka yang hadir kemudian berpusu-pusu membantu urusan pengebumian termasuk mengangkat jenazah, menyediakan tapak perkuburan dan melakukan kerja-kerja tanah.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin, Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, sanak saudara dan rakan seperjuangan Allahyarham.

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.

Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan