WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TINDAKAN PENGUATKUASAAN MESTI TELITI, JAGA INTEGRITI INSTITUSI - PM ANWAR

05/12/2025 06:43 PM

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan penuh ketelitian agar selaras dengan prinsip negara hukum (rule of law) serta memelihara integriti institusi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata setiap alasan dan cara tangkapan mesti dijelaskan dengan cepat dan tegas apabila dipersoalkan kerana keutamaan bukan hanya kepada pelaksanaan undang-undang tetapi juga cara tindakan itu dijalankan.

"Cara menangkap kalau dipertikai, berikan alasan, jawab dengan tegas dan cepat, jangan tangguh. Ya, ada proses undang-undang dan mahkamah tetapi lebih penting ialah menjaga integriti pada badan-badan ini (penguat kuasa).

"Hal ini harus diteliti untuk mempertahankan dan menjamin kewibawaan serta integriti institusi. Integriti institusi itu bukan sekadar bertindak, tetapi cara bertindak juga harus kita teliti. Sekiranya dipersoal, dipertikai atau dihebahkan, beri jawapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 (HARA) di sini hari.

Anwar berkata badan penguat kuasa perlu berani dan bersedia mengambil tindakan terhadap anggota mereka sendiri sekiranya berlaku salah laku, bagi memastikan integriti institusi terus terpelihara dan negara kekal selamat.

"Kalau kebetulan ada anggota kita yang tersalah langkah, kalau ringan memang tindakan disiplin biasa (tapi) kalau terlanjur besar, mesti ada kesediaan daripada badan-badan penguat kuasa untuk bertindak terhadap anggota kita sendiri, baru boleh selamat negara ini.

"Bayangkan pejabat saya sendiri, kalau ada saya beritahu Azam (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya tidak lindungi sesiapa (kena) terus ambil tindakan.

"Kalau di pejabat saya sendiri tidak terlepas daripada tindakan. Mengapa tidak boleh? Dari pejabat Ketua Setiausaha Negara umpamanya, malah pejabat Peguam Negara atau pejabat Tan Sri Azam, dia tidak terlepas,” katanya.Anwar berkata sekiranya prinsip ketelusan dan integriti diamalkan dalam setiap institusi, ia menandakan kejayaan negara mencapai tahap tertinggi dalam usaha memelihara peringkat yang paling mulia dari sudut mempertahankan integriti dan kebersihan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengamalkan sistem pentadbiran yang terbuka dengan mendengar keluhan, teguran dan nasihat daripada pelbagai pihak, namun dalam masa sama memastikan setiap tindakan penguatkuasaan mematuhi proses undang-undang sepenuhnya.

Anwar berkata kerajaan sedar bahawa usaha membanteras jenayah, rasuah dan penyeludupan bukan tugas mudah kerana pihak yang terlibat mempunyai sumber kewangan besar dan rangkaian pengaruh yang luas.

"Tidak mudah kerana orang yang kita asak dan serang itu, kadang-kadang mempunyai simpanan berbilion ringgit. Kalau kita dapat rampas, tiga bilion atau empat bilion (ringgit), saudara ingat dia tidak simpan bilion-bilion yang lain.

"Masih ada...dia gunakan untuk terus menyokong sama ada orang politik ataupun menerobos ke sistem kita, pejabat awam, kehakiman atau badan penguatkuasaan, malah di media sosial untuk menyerang kita," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan