WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RANCAKKAN MADANI: REBUT PELUANG GUNTING RAMBUT PERCUMA DI RERUAI RELA

05/12/2025 06:19 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Orang ramai berpeluang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma di reruai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sepanjang Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dataran Putrajaya di sini.

Timbalan Pengarah RELA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohamad Syafiq Fadzil berkata perkhidmatan itu bermula 9 pagi dan terhad kepada kira-kira 100 pengunjung terawal setiap hari.

“Sambutan sangat memuaskan. Sejak pagi, orang ramai tidak putus-putus hadir untuk mendapatkan khidmat gunting rambut. 

“Setakat ini, kira-kira 20 orang telah mendapatkan perkhidmatan dan kita masih mempunyai kuota sekitar 80 lagi,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Mohamad Syafiq berkata beliau sendiri telah mencuba perkhidmatan berkenaan dan berpuas hati dengan hasil potongan rambut yang kemas.

Beliau berkata RELA turut membuka kaunter pendaftaran ahli baharu bagi pengunjung yang berminat untuk menyertai pasukan itu. 

“Kaunter pendaftaran dibuka bersebelahan reruai gunting rambut dan orang ramai dialu-alukan untuk hadir,” katanya.

Sementara itu, pegawai RELA Dr K. Rajandran yang bertugas sebagai tukang gunting rambut berkata beliau berpuas hati kerana sambutan di reruai RELA amat menggalakkan.

“Kita sebagai RELA dapat buktikan yang pasukan kami dapat melakukan apa sahaja tugasan,” katanya yang berpengalaman dalam perkhidmatan gunting rambut.

RELA menyediakan empat tempat serta ruang menunggu selesa kepada pengunjung yang ingin mendapatkan khidmat gunting rambut percuma.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula hari ini, menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa untuk orang ramai.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung dan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada 11 pagi 7 Dis.

Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara terus kepada rakyat.

Turut diadakan serentak dengan program itu ialah Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 melibatkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam dan pemain industri. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan