KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Mahkamah Koroner hari ini menangguhkan inkues berhubung kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, dan mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada mengeluarkan komen mengenai prosiding yang telah berlangsung selama 52 hari itu.
Mahkamah menangguhkan inkues itu bagi memberikan laluan kepada perbicaraan jenayah yang melibatkan lima individu di bawah umur yang didakwa membuli Zara Qairina, yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 12 Dis serta 15 hingga 19 Dis.
Koroner Amir Shah Amir Hassan mengeluarkan peringatan itu pada penghujung sesi hari ini, sambil berkata inkues akan disambung semula pada 21 Jan tahun hadapan.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya mengelak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berkaitan kes ini. Jika ada sesiapa yang mempunyai bukti baharu atau tambahan, mereka harus menghubungi pegawai penyiasat.
“Itulah saluran yang betul. Jangan ‘mendahului’ inkues,” katanya sambil menegaskan bahawa spekulasi awam boleh mengganggu keadilan dan integriti prosiding memandangkan tujuan inkues berkenaan untuk menegakkan keadilan.
Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Asni Marjan yang bakal bersara bulan depan.
Saksi ke-57 memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah melihat mesej teks yang didakwa dihantar oleh ibu seorang pelajar dikenali sebagai A - yang berdepan pertuduhan membuli berkaitan dengan kematian Zara Qairina, kepada ketua warden sekolah Azhari Abdul Sagap pada malam kejadian.
Peguam Joan Goh yang mewakili pelajar A, mengemukakan mesej yang dihantar oleh ibu anak guamnya kepada Azhari antara 10.28 malam hingga 10.54 malam pada 15 Julai. Mesej berkenaan dipercayai berkaitan dengan satu insiden yang berlaku di asrama pada malam itu.
Asni berkata beliau tidak pernah ditunjukkan sebarang mesej sedemikian oleh ketua warden dan tidak dimaklumkan mengenainya pada masa berkaitan.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial