WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROJEK GANTIAN BILIK DARJAH, KEMUDAHAN SMK KANOWIT SIAP AWAL DARI JADUAL

06/12/2025 03:49 PM

SIBU, 6 Dis (Bernama) -- Projek pembinaan gantian melibatkan 18 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain di Sekolah Menengah Kanowit dekat sini berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek tersebut yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 diserahkan secara rasmi pada 5 Nov lalu, iaitu dua bulan lebih awal daripada tarikh asal penyiapan pada 9 Jan tahun depan.

“Projek ini hanya menelan kos RM49.9 juta dan kejayaannya adalah hasil kerjasama erat antara Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), kontraktor utama serta semua pihak yang terlibat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Gantian sekolah itu hari ini.

Menurut beliau, skop projek merangkumi pembinaan blok pentadbiran dan blok akademik dengan 18 bilik darjah, surau, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), makmal komputer, makmal sains integrasi, makmal kimia serta dua bilik sumber. 

Turut dibina ialah bilik pam, bilik bomba, bilik elektrik utama, dua gelanggang permainan, pondok menunggu, pondok basikal dan pondok pengawal.

Nanta berkata kemudahan baharu itu bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya simbol harapan untuk meningkatkan kualiti pendidikan generasi muda di Kanowit.

“Dengan kemudahan yang lebih moden dan selamat, pelajar dapat belajar dengan lebih baik, guru dapat mengajar dengan lebih berkesan dan ibu bapa tentu lebih yakin terhadap masa depan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau menegaskan komitmen Kementerian Kerja Raya dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, menepati piawaian dan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Nanta menyeru warga sekolah agar menjaga dan memanfaatkan kemudahan tersebut sebaik mungkin, demi melahirkan pelajar cemerlang yang bakal menjadi pemimpin masa depan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan rasmi projek pembinaan itu kepada Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan