KAPIT, 6 Dis (Bernama) -- Pembinaan telaga tiub di sekolah-sekolah pedalaman di Kapit terus memperkukuh kemudahan asas pendidikan kepada pelajar luar bandar dengan sebahagian daripada 11 projek itu berjaya disiapkan tahun ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan akses bekalan air bersih yang stabil dan selamat dapat dinikmati semua pelajar tanpa mengira lokasi.
“Penyediaan telaga tiub ini bukan sahaja menjamin kebersihan dan keselamatan bekalan air, tetapi turut menjadi asas penting bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, terutama di kawasan yang jauh dari liputan infrastruktur utama,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Telaga Tiub Kapit di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjai di sini hari ini.
Nanta berkata projek berkenaan dilaksanakan dengan peruntukan RM11.49 juta pada 2025 bagi membangunkan sistem bekalan air di sekolah-sekolah pedalaman.
Skop kerja melibatkan pembinaan tangki takungan, tangki air bertingkat, rumah pam, komponen mekanikal dan elektrikal, kerja luaran, serta proses geofizik dan penggerudian bagi memastikan keselamatan dan kualiti air memenuhi piawaian.
Beliau berkata kapasiti pengeluaran air adalah 10,000 liter sehari yang mencukupi untuk kegunaan seharian di sekolah terbabit selain selamat digunakan kerana diproses menggunakan sistem osmosis berbalik.
Sekolah-sekolah yang terlibat dengan projek berkenaan ialah SK Nanga Bena, SK Rantau Panjai, SK Nanga Kebiaw, SK Nanga Merit, SK Ulu Pelagus, SK Lubok Mawang, SK Nanga Kain, SK Nanga Tiau, SK Bebangan, SK Nanga Ibun dan SK Nanga Entuloh.
Nanta berkata tujuh sekolah telah berjaya disiapkan sepenuhnya, manakala empat lagi belum dapat mengeluarkan bekalan air kerana kapasiti sumber masih tidak mencapai standard minimum.
“Bagi empat sekolah berkenaan, JKR telah mengemukakan kaedah alternatif kepada Kementerian Pendidikan untuk memastikan bekalan air tetap dapat disediakan melalui kontrak susulan yang sedang dirangka,” katanya sambil menegaskan komitmen kerajaan tidak berakhir pada penyerahan hari ini, sebaliknya usaha akan diteruskan sehingga semua sekolah menerima manfaat sepenuhnya.
Nanta turut menyeru agar semua sekolah yang menerima kemudahan itu menjaga fasiliti berkenaan dengan baik kerana ia merupakan aset kritikal untuk kegunaan jangka panjang.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan kemudahan asas sekolah pedalaman setara dengan sekolah di bandar. Telaga tiub ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial