Oleh Siti Baaqiah Mamat
KOTA KINABALU, 7 Dis (Bernama) -- Tradisi purba masyarakat Kadazan Dusun mengebumikan tulang-temulang bersama-sama barangan peribadi dalam tanjau atau tempayan besar yang melambangkan perjalanan roh ke alam seterusnya tidak lagi diamalkan dan semakin jarang diceritakan kepada generasi muda.
Walaupun begitu, elemen sejarah itu masih diperkenalkan kepada pelawat Mari Mari Cultural Village (MMCV) di Inanam kira-kira 25 minit dari sini, yang berperanan sebagai pusat pemeliharaan budaya untuk memastikan warisan pelbagai etnik Sabah terus diketahui generasi muda dan pelancong.
Di kampung budaya itu pelawat bukan sahaja dapat menyaksikan rumah masyarakat pelbagai kaum di Sabah, malah berpeluang menikmati pertunjukan kebudayaan serta hidangan tradisi lima etnik utama Negeri di Bawah Bayu, iaitu Dusun, Rungus, Lundayeh, Bajau dan Murut.
Pemandu pelancong MMCV Mohd Aidil Pulian Abdullah, 38, berkata sejak beroperasi pada 2009 pusat itu menjadi platform penting kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk memahami budaya Sabah secara menyeluruh dalam satu lawatan kerana mempamerkan amalan serta tradisi etnik negeri yang sebahagiannya semakin pupus.
Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, beliau berkata antara budaya yang sudah jarang dilihat termasuk teknik tradisional menyalakan api menggunakan buluh dan permainan tradisi “lansaran” iaitu lantai buluh berbentuk trampolin untuk menyambut kepulangan pahlawan.
Dalam permainan itu, satu hadiah akan digantung pada “kinkilat” iaitu struktur tinggi yang digunakan sebagai tempat menggantung objek sasaran dan peserta perlu melompat setinggi yang boleh dari lantai “lansaran” untuk mencapai hadiah.
“Semakin tinggi lompatan, semakin besar peluang untuk menang. Kami berusaha memperkenalkan tradisi ini kepada pelancong setiap hari. Ramai generasi muda tidak lagi mengetahui budaya sendiri dan sebab itu kami rakam dan belajar daripada orang lama untuk disampaikan kepada pelawat,” katanya.
Kampung budaya itu mempunyai 26 pemandu pelancong tetap manakala pemandu luar termasuk dari Korea, China, Russia dan Jepun bertindak sebagai penterjemah kepada kumpulan pelancong mereka.
Berhubung jumlah pengunjung, Mohd Aidil Pulian berkata kedatangan tertinggi biasanya pada Jun serta Julai apabila pelancong dari China dan Korea bercuti musim panas, sehingga pernah merekodkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 pelawat sebulan.
Beliau berkata MMCV juga menjadi platform pendidikan kepada pekerja muda berusia dari 18 hingga awal 20-an yang berkhidmat sebagai pemandu atau penari persembahan budaya.
“Kalau mereka sendiri tidak memahami budaya itu, mereka tidak boleh menerangkan kepada pelawat. Di sini mereka belajar dan akhirnya dapat berkongsi ilmu dengan masyarakat luar,” katanya.
Selain pameran budaya dan rumah tradisi, Mohd Aidil Pulian berkata tarikan utama lain ialah persembahan kebudayaan yang diadakan dua kali sehari pada 12 tengah hari dan 4 petang.
Persembahan merangkumi lima jenis tarian termasuk tarian Limbai masyarakat Bajau dan tarian popular Anggalang Magunatip daripada suku Murut dengan penari perlu menari di antara dua batang buluh yang diketuk mengikut rentak tertentu.
Tarian Limbai merupakan tarian tradisional masyarakat Bajau yang dipersembahkan untuk menyambut ketibaan pengantin lelaki dan menggunakan gerakan melambai-lambaikan selendang yang melambangkan ucapan selamat datang serta menjemput pengantin lelaki naik ke rumah untuk upacara pernikahan.
Sebagai anak kaum Dusun, Mohd Aidil Pulian mengakui kepentingan pusat itu dalam membantu masyarakat Sabah mengekalkan identiti budaya walaupun berdepan arus pemodenan.
“Di muzium atau pameran lain, mungkin tiada siapa untuk menjawab soalan pelawat, tetapi di MMCV kami berusaha memberi maklumat sebaik mungkin dan menjadi pusat rujukan budaya Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai berkunjung ke MMCV bagi memahami kepelbagaian etnik Sabah dalam masa singkat tanpa perlu menjelajah ke seluruh negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial