WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SOROTAN 2025: SUARA MALAYSIA LANTANG MERENTASI PENTAS DUNIA, TEGUH BELA NASIB PALESTIN

11/12/2025 10:02 AM

Oleh Nabilah Saleh dan Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Tahun 2025 memahat Malaysia sebagai suara paling lantang dan berani dalam mempertahankan dan menuntut keadilan bagi rakyat Palestin, dengan nada perjuangan negara bergema melangkaui sempadan dari jalanan sehingga liga serantau dan antarabangsa.

Malaysia kekal utuh menyuarakan isu berkenaan sejak konflik Gaza memuncak pada Oktober 2023, selari dengan iltizam dasar luar negara yang berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Qatar pada September lepas, menggesa tindakan hukuman punitif dikenakan terhadap Israel sebagai respons terhadap kekejaman yang semakin tidak berperikemanusiaan.

Beliau menegaskan pendirian Israel menolak pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara bebas merupakan dasar aparteid terang-terangan serta keingkaran serta pencabulan terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Nada tegas Malaysia dalam setiap penyertaaan Anwar dalam pelbagai persidangan berprofil tinggi antarabangsa dan pertemuan dengan pemimpin global, termasuk perbincangan empat mata bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober.

Pada Ogos lepas, solidariti rakyat dan negara dizahirkan apabila Malaysia mengumumkan dana RM100 juta sebagai bantuan kemanusiaan kepada Palestin pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka.

Di pentas Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80 di New York, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa penyalahgunaan kuasa veto Majlis Keselamatan terus merantai usaha global untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza.

Beliau menggariskan tiga kompas perjuangan Malaysia, iaitu tindakan konkrit terhadap kuasa pendudukan Israel, komitmen membangunkan Palestin sebagai negara berdaulat serta reformasi menyeluruh PBB, khususnya Majlis Keselamatan supaya lebih inklusif dan efektif.

Malaysia turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kumpulan The Hague yang mendesak tindakan perundangan dan sekatan menyeluruh terhadap Israel termasuk embargo senjata sebagai tuntutan moral komuniti antarabangsa.

Malaysia dalam mesejnya menegaskan bahawa pendudukan haram Israel dan sekatan terhadap Gaza telah melahirkan satu daripada krisis kemanusiaan paling parah dan dahsyat dalam sejarah moden.

Di lapangan, Malaysia menzahirkan solidariti dengan keberanian melalui penyertaan dalam Global Sumud Flotilla (GSF), konvoi kemanusiaan antarabangsa merentas lautan yang menghimpunkan lebih 40 kapal kecil dan 500 aktivis dari 44 negara untuk menghantar bantuan ke Gaza, selain menjadi lambang keberanian menentang sekatan Israel di Gaza.

Malaysia muncul antara kontinjen terbesar di Asia Tenggara melalui Sumud Nusantara yang menggerakkan 34 sukarelawan melibatkan tokoh masyarakat, selebriti, ahli politik dan wartawan.

Pelayaran GSF itu diperkukuh dengan kerjasama keselamatan antarabangsa termasuk penugasan kapal peronda Itali dan Sepanyol bagi memastikan laluan flotila kekal selamat daripada ancaman rejim Zionis.

GSF yang belayar dari Mediterranean akhir Ogos 2025 bagaimanapun berdepan provokasi hebat Israel termasuk serangan dron sebelum dipintas di perairan antarabangsa, yang membawa kepada penahanan 23 rakyat Malaysia bersama ratusan aktivis asing.

Sepanjang detik getir itu, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang beroperasi sepanjang masa dengan pemantauan 24 jam dan sidang video langsung bagi melaporkan situasi secara masa nyata kepada rakyat dan keluarga.

Gelombang solidariti rakyat turut memuncak apabila ribuan warga Malaysia turun ke jalan raya dalam beberapa siri demonstrasi menuju Kedutaan AS di Kuala Lumpur bagi membantah tindakan Israel menahan aktivis keamanan.

Kesemua 23 rakyat Malaysia akhirnya dibebaskan secara berperingkat dan pulang pada 8 Okt, disambut dalam suasana penuh emosi oleh ribuan rakyat pada Himpunan Solidariti Gaza di Arena Axiata, Bukit Jalil bersama Perdana Menteri.

Dalam minggu sama, tujuh lagi rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran Freedom Flotilla Coalition turut ditahan pada 7 Okt sebelum dibebaskan lima hari kemudian.

Melihat gerak sepanjang tahun ini, perjuangan Palestin bagi Malaysia bukan sekadar dasar luar negara tetapi amanah moral yang dikongsi bersama rakyat, dari bilik sidang diplomasi sehingga denyut nadi solidariti di jalanan.

Ketika Malaysia melangkah ke tahun baharu, negara ini terus membawa harapan bersama Gaza dan seperti ditegaskan Perdana Menteri, Malaysia akan tetap bersama Palestin - semalam, hari ini dan esok.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan