WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SOROTAN 2025: KERAJAAN LAKSANA AGENDA PEMBAHARUAN, PERKUKUH PENDAPATAN DAN INTEGRITI NEGARA

12/12/2025 10:18 AM

Oleh Amanina Mohamad Yusof & Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Tahun 2025 menutup tirai dengan pencapaian signifikan dalam agenda pembaharuan kerajaan melalui pelaksanaan dasar-dasar utama yang memberi impak langsung kepada pendapatan rakyat, meningkatkan tadbir urus perkhidmatan awam dan memperkukuh kesejahteraan sosial.

Antara inisiatif terbesar ialah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), menyusun semula struktur saraan hampir 1.7 juta penjawat awam dan memberi impak nyata kepada kesejahteraan serta motivasi mereka. 

Melalui SSPA, kerajaan memperkenalkan pelarasan gaji antara tujuh hingga 15 peratus, diikuti penambahbaikan komprehensif merangkumi Jadual Gaji Maksimum-Minimum (JGMM) baharu, elaun, kemudahan cuti dan insentif berasaskan prestasi.

Langkah itu turut memberi manfaat kepada lebih 960,000 pesara, melalui peruntukan RM1.97 bilion bagi pelaksanaan Fasa Dua pelarasan pencen berkuat kuasa 1 Jan 2026, sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan persaraan negara. 

SSPA secara keseluruhan mengangkat perkhidmatan awam ke arah era baharu yang menekankan kesejahteraan, profesionalisme dan peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memberi manfaat langsung kepada penjawat awam dan pesara.

Dalam sektor swasta, kerajaan meneruskan agenda peningkatan pendapatan rakyat melalui penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum (PGM) sebanyak RM1,700 sebulan, yang wajib dipatuhi semua majikan tanpa mengira saiz organisasi, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Kegagalan mematuhi PGM adalah satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), dengan majikan yang ingkar boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, denda tambahan sebanyak RM1,000 sehari jika kesalahan berterusan selepas sabitan manakala kesalahan berulang membawa denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Selari dengan usaha memperkukuh integriti pentadbiran awam, kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025, yang diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Ogos dan disifatkan sebagai reformasi perolehan paling signifikan dalam sejarah pentadbiran kewangan negara.

Rang Undang-Undang itu memperincikan kewajipan, tanggungjawab, piawaian tadbir urus semua pihak terbabit dalam perolehan awam, selain mewujudkan Panel Kajian Semula dan Tribunal Rayuan Perolehan yang membolehkan keputusan perolehan, termasuk keputusan Menteri Kewangan dicabar dan dikaji semula. 

Langkah itu bertujuan meningkatkan integriti, mengurangkan ketirisan serta memperkukuh akauntabiliti termasuk kepada menteri dan pegawai yang telah bersara. 

Dari sudut perlindungan sosial, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, yang menyediakan perlindungan menyeluruh kepada lebih 1.2 juta pekerja gig, merangkumi aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak sebagai pekerja. 

Rang Undang-Undang itu meletakkan Malaysia sebagai negara rujukan serantau dalam penggubalan undang-undang progresif bagi sektor ekonomi gig.

Malaysia turut mencatat kejayaan global apabila pasport Malaysia mencipta sejarah dengan berada di kedudukan ketiga dunia dalam Passport Index 2025, bersama 15 negara lain termasuk Belgium, Jerman, Perancis dan Korea Selatan.

Dengan kedudukan itu, rakyat Malaysia menikmati kemudahan perjalanan tanpa visa ke 174 negara di seluruh dunia. 

Bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, kerajaan menganjurkan lapan siri Program MADANI Rakyat (PMR) sepanjang 2025, bertujuan mempertingkat pemahaman masyarakat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan.  

PMR yang bermula di Sabah dan berakhir di Melaka, mencatatkan kehadiran lebih 1.4 juta pengunjung, menjadikannya antara program komunikasi rakyat paling berjaya pada 2025. 

Program itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU)  dengan kerjasama strategik kementerian-kementerian Persekutuan dan kerajaan negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan