WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENJAWAT AWAM SABAH TERIMA BANTUAN KHAS KEWANGAN SEBULAN GAJI

12/12/2025 08:20 PM

KOTA KINABALU, 12 Dis (Bernama) -- Seramai 18,853 penjawat awam negeri Sabah menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji atau minimum RM2,000 menerusi Belanjawan Sabah 2026.

Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Menteri Kewangan negeri, ketika membentangkan belanjawan itu memaklumkan pembayaran BKK melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM52.6 juta.

Beliau berkata pembayaran bantuan itu akan dilaksana dalam dua fasa iaitu pada Februari tahun depan sebelum Aidilfitri dan pada Mei sebelum sambutan Kaamatan.

“Bantuan ini merangkumi semua kategori anggota perkhidmatan awam Sabah, dan merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap komitmen mereka yang menjadi tulang belakang pentadbiran negeri.

"Penjawat awam Sabah nadi utama jentera pentadbiran perkhidmatan kerajaan negeri... oleh itu, selain pelarasan gaji, Kerajaan Negeri Sabah juga membawa khabar gembira BKK kepada penjawat awam negeri," katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Masidi berkata selain itu, golongan pesara kerajaan Sabah tidak dilupakan apabila turut menerima BKK berjumlah RM1,000 yang dijadualkan dibayar pada tahun hadapan.

Beliau juga berkata kerajaan negeri mencadangkan peruntukan emolumen sebanyak RM936.73 juta bagi membiayai gaji penjawat awam Sabah pada 2026, peningkatan sebanyak RM32.82 juta atau 3.63 peratus berbanding peruntukan asal tahun ini.

“Kenaikan tersebut bagi menampung kenaikan gaji tahunan serta pelarasan gaji fasa 2 yang melibatkan kenaikan antara 3 hingga 7 peratus selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berkuat kuasa pada 1 Dis 2024, di samping pertambahan pelantikan baharu,” katanya.

Masidi berkata kerajaan negeri turut memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan sumber manusia dengan RM16.85 juta bakal diagih kepada semua agensi kerajaan Sabah bagi memastikan penjawat awam terlatih dan dilengkapi pengetahuan serta kemahiran yang relevan dengan cabaran semasa.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM7.6 juta juga disediakan khusus untuk menggalakkan budaya pembelajaran berterusan.

"Perkhidmatan Awam ialah nadi Kerajaan Negeri Sabah yang perlu sentiasa berfungsi dengan cekap dan berkesan bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat.

"Usaha ini adalah untuk membentuk barisan pegawai yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, memiliki keupayaan analitikal dan kepimpinan masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan