WILAYAH - SABAH > BERITA

PEMBATALAN AWARD AKHIR KES SULU LAKAR KEJAYAAN PERUNDANGAN BERSEJARAH BUAT MALAYSIA

12/12/2025 01:59 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU, 12 Dis (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan award akhir timbang tara berjumlah USD14.9 bilion yang dituntut sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu telah melakar suatu kejayaan bersejarah dalam bidang perundangan buat Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Roger Chin menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan penting yang memperkukuh kedudukan undang-undang negara dan berkata mahkamah tersebut mendapati tiada perjanjian timbang tara wujud bagi menyokong pemberian award tersebut.

Meskipun mengakui masih terdapat satu lagi saluran untuk penuntut mengemukakan rayuan iaitu Mahkamah Agung Perancis, beliau berpandangan bahawa peluang mereka untuk berjaya adalah tipis.

Chin, yang juga bekas Presiden Undang-Undang Sabah (SLS), berkata proses timbang tara membabitkan dua award berbeza, iaitu award sebahagian mengenai bidang kuasa dan award akhir berkaitan tuntutan kewangan.

“Satu daripadanya ialah award sebahagian, yang kita peroleh tahun lepas... dalam kes itu, mahkamah memutuskan bahawa tiada perjanjian timbang tara, jadi mereka telah mengetepikan award sebahagian... itu adalah award awal yang telah diselesaikan.”

"Dan ini adalah award akhir iaitu bahagian terakhirnya, dan Mahkamah Rayuan juga telah memutuskan bahawa ia tidak boleh dipertahan kerana tiada perjanjian timbang tara,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai keputusan tersebut.

Pada 9 Dis lepas, Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa penimbang tara Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa dan tiada perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia dengan prosiding itu.

Chin berkata dengan membatalkan award akhir itu di peringkat timbang tara, Malaysia telah berjaya menyerang “akar” kepada masalah tersebut.

“Sudah tentu (keputusan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia) kerana dalam proses timbang tara, apa yang berlaku ialah jika anda boleh menyerang akarnya, iaitu sumber award dalam timbang tara itu, dan anda berjaya menyingkirkannya maka sekiranya mereka cuba menguatkuasakan ia di tempat lain di dunia, mereka tidak mungkin berjaya.

“Jika mereka cuba menguatkuasakan ia di negara lain, negara itu akan berkata 'award asal anda tidak lagi sah, jadi mengapa kami perlu berbuat demikian?” katanya.

Beliau berkata episod ini menjadi pengajaran penting buat Malaysia untuk menilai semula cara menangani kes-kes timbang tara pada masa hadapan khususnya dengan mempersoalkan sama ada strategi asal untuk tidak terlibat adalah pendekatan yang paling berkesan.

Chin berkata pada awalnya, Malaysia memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam prosiding itu kerana kerajaan tidak mengiktiraf kesahihan tuntutan tersebut namun keengganan untuk terlibat secara tidak langsung telah menyebabkan kumpulan penuntut Sulu memperoleh award berkenaan.

"Oleh kerana mereka memperoleh award itu, kita berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan dan terpaksa berusaha untuk mengetepikannya sehingga kini.

"Kita telah mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk berbuat demikian,” katanya sambil menambah masa dan sumber yang besar diperlukan untuk membatalkan keputusan itu.

Justeru itu, beliau berpandangan bahawa kerajaan mesti lebih peka terhadap potensi ancaman timbang tara serta tidak mengabaikannya, dan berkata setiap kali tuntutan seperti itu timbul, Malaysia perlu “menentangnya dengan tegas serta bersungguh-sungguh” sejak awal berbanding mengambil sikap tunggu dan lihat hingga ke penghujungnya.

Dari aspek undang-undang, Chin berkata walaupun proses timbang tara boleh disalahgunakan dan ini terbukti apabila penimbang tara terbabit kini berdepan hukuman penjara, kejayaan itu membuktikan bahawa undang-undang menyediakan remedi yang diperlukan untuk mengetepikan award yang tidak sah dan berniat jahat.

Malaysia sebelum ini turut meraih kejayaan penting dalam pertikaian yang berlarutan itu apabila mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan Hague di Belanda, Mahkamah Rayuan Paris serta mahkamah di Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepada negara.

Sebelum ini, lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang kini sudah tidak wujud telah memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol, menuntut pampasan berbilion dolar daripada Malaysia berhubung isu Sabah.

Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes tersebut, dan beliau kemudian mengeluarkan award akhir berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan