KUANTAN, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) menyalurkan peruntukan RM1juta menerusi Program Kampung Angkat MADANI dalam usaha membawa perubahan dari segi infrastruktur, kebajikan dan ekonomi komuniti nelayan di Kampung Cempaka di sini.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat pembangunan sampai kepada golongan yang memerlukan.
"Kampung Cempaka dipilih sebagai lokasi pelaksanaan berdasarkan kedudukannya sebagai antara komuniti nelayan aktif yang memerlukan sokongan strategik daripada kerajaan.
"Melalui dana RM1 juta, DOF melaksanakan kerja naik taraf balai nelayan, pembinaan tempat penyimpanan bot dan penambahbaikan tandas awam dalam usaha memastikan kemudahan komuniti berada pada tahap lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI-DOF hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.
Adnan berkata kemudahan lain yang dinaik taraf termasuk padang bola manakala lampu solar awam dan sistem solar di surau dipasang bagi meningkatkan keselamatan serta menyediakan pencahayaan lebih efisien pada waktu malam.
"Program ini juga meliputi bantuan kebajikan apabila Kompleks Rumah Anak Yatim Permata Camar menerima tilam baharu, mesin basuh dan sistem siaraya bagi keselesaan penghuni.
"Sebagai sokongan kepada sektor ekonomi, DOF menyerahkan 84 bidang pukat kepada 42 nelayan pantai bagi membantu meningkatkan keupayaan operasi penangkapan ikan secara mampan," katanya.
Beliau berkata DOF turut melaksanakan Program Pemutihan Lesen Sampan bagi memastikan pengurusan rekod nelayan lebih tersusun dan hanya individu berkelayakan beroperasi secara sah.
Adnan berkata seramai 41 nelayan pantai dari daerah Kuantan diberikan Lesen Sampan Khas yang membolehkan mereka kembali menjalankan aktiviti penangkapan dengan mematuhi peraturan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial