WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TEO KONGSI PENGALAMAN NAIK ETS HARI PERTAMA OPERASI LALUAN JB-KL

12/12/2025 10:57 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkongsi pengalaman amat memuaskan ketika menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS) laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur, yang mula beroperasi hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai menaiki tren di Stesen Kulai pada 4.40 petang, sebelum tiba di Stesen KL Sentral pada 8.50 malam tadi.

“Di luar hujan lebat. Kalau saya memandu dari Kulai ke sini, mungkin mengambil masa lima hingga enam jam. Dengan ETS, tiga hingga empat jam sahaja dan sangat selesa,” katanya kepada pemberita di sini.

Teo berkata kemudahan seperti soket kuasa, kafe, tempat duduk selesa serta suhu kabin yang kondusif, menjadikan perjalanan jauh lebih lancar untuk penumpang pelbagai lapisan.

“Saya nasihatkan bawa jaket, sebab sejuk. Tetapi selain itu, memang sangat selesa, boleh dipercayai,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan itu, membuka potensi besar kepada sektor pelancongan, sekali gus  merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 selain memacu ekonomi setempat melalui kemudahan perjalanan rentas negeri yang cepat dan selesa.

Teo berkata kemudahan itu juga pastinya menggalakkan lebih banyak perjalanan sehari antara bandar seperti KL-Seremban atau Seremban-Segamat.

“Tadi dalam dalam tren pun, saya jumpa sepasang warga emas dari Kluang yang naik ETS buat perjalanan harian ke Johor Bahru. Mereka hanya bayar kira-kira RM8 seorang kerana diskaun 50 peratus untuk warga emas,” katanya.

Sebelum ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan diskaun istimewa 30 peratus ditawarkan melibatkan perjalanan dari hari ini hingga 11 Jan 2026 bagi sektor KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan