WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA-UAE METERAI MOU KERJASAMA PERTAHANAN

13/12/2025 08:45 AM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan, menandakan satu lagi perbatuan penting dalam hubungan strategik kedua-dua negara.

MoU itu ditandatangani Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE Mohamed Mubarak Fadhel AlMazrouei di Abu Dhabi, baru-baru ini.

Mohamed Khaled dalam kenyataan berkata MoU berkenaan memperluas skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh, selari dengan aspirasi kedua-dua negara untuk membina hubungan diplomasi pertahanan yang lebih erat, moden dan berpandangan jauh.

“Melalui MoU ini, Malaysia dan UAE menzahirkan komitmen bersama yang antara lain menggalakkan penyelidikan pertahanan bersama, meneroka pengeluaran produk pertahanan, dan membangunkan keupayaan baharu yang memberi manfaat timbal balik.

“MoU ini juga bakal menjadi jambatan penting bagi memulakan libat urus industri dengan segera, khususnya dalam mengenal pasti bidang tumpuan bersama dan potensi projek berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan, demi memperkukuh ekosistem industri pertahanan di kedua-dua negara,” katanya.

Mohamed Khaled berada di Abu Dhabi bagi lawatan kerja dua hari bermula Khamis lepas dan ia disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan (MINDEF) Mohd Yani Daud, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, serta Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MINDEF Datuk Muhammad Ammir Haron.

Beliau berkata Malaysia dan UAE turut komited untuk meningkatkan koordinasi latihan ketenteraan dan perkongsian kepakaran, termasuk inisiatif latihan bersama yang dapat memperkukuh kesiapsiagaan, kebolehoperasian dan keupayaan angkatan kedua-dua negara.

“Diharapkan MoU ini akan membuka lembaran baharu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE yang lebih kukuh, saling melengkapi dan berpaksikan keamanan serta kestabilan serantau dan sejagat,” katanya.

Mohamed Khaled berkata selain itu, UAE turut mengiktiraf hubungan akrab bersama Malaysia serta mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan EDGE Group, sebuah konglomerat teknologi dan pertahanan milik Kerajaan UAE.

“Saya juga berpeluang membentangkan keupayaan negara dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa, yang dilihat berpotensi untuk menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group pada masa hadapan.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama,” katanya.

Mohamed Khaled berkata Malaysia juga turut mencadangkan kolaborasi latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal kelas Gowind milik UAE, sebagai sebahagian daripada persediaan mengoperasikan kapal LCS Malaysia yang menggunakan teknologi sama dan ia mendapat maklum balas positif.

Pada lawatan berkenaan, Mohamed Khaled turut berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di UAE dan disambut Duta Besar Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta seluruh warga kedutaan.

“Saya menzahirkan penghargaan atas komitmen yang dipamerkan dalam memperkukuh hubungan Malaysia-UAE, termasuk dalam aspek pertahanan yang cukup penting kepada kedua-dua negara.

“Selain memastikan kepentingan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara di luar negara, kedutaan kita berperanan dalam mengukuhkan diplomasi pertahanan, serta menyokong agenda keselamatan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan