KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Mei lepas berjaya dilaksanakan di 566 sekolah seluruh negara, melebihi sasaran awal sebanyak 188 peratus.
JKM memaklumkan inisiatif advokasi keselamatan dan perlindungan kanak-kanak itu turut diperluas ke 47 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), melebihi 157 peratus daripada sasaran asal.
Hal itu sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan perlindungan menyeluruh terhadap setiap kanak-kanak di negara ini.
“Program ini antara inisiatif dalam menggerakkan seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa dan komuniti setempat untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan perkembangan kanak-kanak terpelihara sepenuhnya selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
“Hal itu selaras dengan usaha kerajaan dalam mencegah sebarang bentuk penderaan fizikal, emosi, seksual, pengabaian dan eksploitasi selain bertujuan memastikan suara kanak-kanak didengari, hak mereka dihormati dan kesejahteraan mereka dijamin,” menurut JKM dalam kenyataan hari ini.
Menurut JKM, ia ditambah lagi dalam era digital ketika kini, apabila kanak-kanak semakin terdedah dengan risiko penderaan dalam talian, buli siber dan eksploitasi digital yang memerlukan kerjasama masyarakat melaporkan sebarang kes melalui Talian Kasih 15999, Whatsapp 019-2615 999, atau aplikasi Mobile Talian Kasih bagi tindakan segera.
Pada masa sama, program yang dilaksanakan menerusi JKM itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai “Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Terbesar” dengan penyertaan 128,148 kanak-kanak di seluruh negara.
Program itu berakhir hari ini di daerah Manjung, Perak, sekali gus menandakan penutup siri program avokasi itu yang telah dilaksanakan di seluruh negara.
JKM dalam kenyataan itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik yang menyokong program terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pendidikan dan Kesihatan Daerah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung, Jalinan Ihsan Warga Astar (JIWA) Universiti Malaya serta Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Daerah Manjung.
“Kerjasama erat membolehkan program tersebut mencapai objektif utamanya iaitu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya perlindungan kanak-kanak dan memperkukuh jaringan komuniti,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan statistik JKM Perak, pada tahun lepas, sebanyak 705 kes kanak-kanak direkodkan memerlukan pemeliharaan dan perlindungan manakala dari Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 415 kes telah dicatatkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial