Oleh Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Sasaran empat pingat emas diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi Sukan SEA Thailand 2025 gagal dicapai pemain negara selepas hanya dua wakil mara ke perlawanan akhir di Pathum Thani, esok.
Kedua-dua wakil tersebut adalah juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan naib juara beregu wanita Kejohanan Dunia 2025 Pearly Tan-M. Thinaah, yang menghidupkan peluang menyambar emas pada aksi di Gimnasium 4, Universiti Thammasat Kampus Rangsit.
Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah menumpaskan pasangan dari Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, 21-10, 21-12, dalam masa 33 minit.
Menanti Aaron-Wooi Yik di pentas final adalah gandingan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, yang menyingkirkan pasangan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-16, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Bagaimanapun, tugas sulit menanti pilihan utama temasya dwitahunan itu memandangkan rekod pertemuan tidak memihak Aaron-Wooi Yi yang tewas tiga kali dalam empat pertemuan sebelum ini.
Atas kertas, Pearly-Thinaah yang juga turun selaku pilihan utama, berpotensi besar menyambar emas selepas sebelum ini menang tiga kali ke atas lawan final mereka iaitu Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, esok.
Pasangan nombor dua dunia itu mengesahkan slot ke final kempen sulung Sukan SEA mereka namun dipaksa bermandi peluh sebelum mengatasi pilihan keempat Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum, 21-14, 19-21, 21-16.
Juara beregu campuran dunia 2025 Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula dirundung malang apabila gagal mara ke perlawanan akhir, manakala kesemua wakil perseorangan negara iaitu Leong Jun Hao dan Justin Hoh (lelaki) serta Wong Ling Ching (wanita) turut terkandas di separuh akhir.
Sementara itu, tumpuan hari kelima kontinjen negara esok turut terarah kepada kemampuan skuad sepak takraw dalam usaha menamatkan kemarau emas acara regu berpasukan lelaki selama 34 tahun menentang musuh tradisi dan juara bertahan Thailand di Nakhon Pathom, kira-kira 90 minit perjalanan dari sini.
Dalam pada itu, Malaysia berjaya menambah koleksi enam lagi pingat emas menerusi peluncur ais negara Fang Ze Zeng, pasukan kriket T20 lelaki dan Amir Daniel Abdul Majeed daripada sukan judo.
Trio wusyu negara Lo Ying Ting, Mandy Cebelle Chen dan Sydney Chin Sy Xuan tidak ketinggalan meraih emas acara Duilian wanita, disusuli jaguh lontar peluru negara Jonah Chang Rigan dan jaguh renang negara Khiew Hoe Yean, sekali gus menjadikan Malaysia secara keseluruhan memungut 16 pingat emas, 15 perak dan 48 gangsa, untuk berada di tempat kelima carta pingat.
Kontinjen tuan rumah terus unggul di depan dengan 95 emas, 60 perak dan 39 gangsa diiikuti Indonesia di tempat kedua (31-43-36) dan Vietnam melengkapkan senarai kedudukan tiga teratas carta pingat setakat ini (30-29-54).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial