WILAYAH - SARAWAK > BERITA

METMALAYSIA KELUARKAN AMARAN HUJAN LEBAT BERTERUSAN SEHINGGA KHAMIS

14/12/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga Khamis (18 Dis). 

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan dan Terengganu.

Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor di Mersing dan Kota Tinggi.

Beliau berkata hujan berterusan tahap waspada pula melibatkan Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) untuk tempoh sama.

Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku sehingga Selasa (16 Dis) melibatkan Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca, laman media sosial rasmi MetMalaysia dan talian MET Malaysia 1-300-22-1638.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan