SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: KUARTET RENANG LELAKI RAIH GANGSA

15/12/2025 12:41 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 14 Dis (Bernama) -- Kuartet renang lelaki negara meneruskan konsistensi di podium buat edisi kedua berturut-turut apabila meraih pingat gangsa acara 4x100 meter (m) gaya bebas berganti-ganti pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini, hari ini.

Gandingan Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Terence Ng mencatat masa 3 minit 20.87 saat (s) pada perlumbaan yang berlangsung di Kolam Renang, Sports Authority of Thailand.

Walaupun gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi 2023, Arvin berkata beliau berpuas hati kerana berjaya membantu Malaysia merangkul pingat.

“Saya tiada rungutan. Pingat tetap pingat dan saya gembira dapat menyumbang satu lagi pingat untuk negara,” katanya kepada pemberita di sini.

Singapura mempertahankan pingat emas sambil memecahkan rekod Sukan SEA milik mereka sendiri selepas mencatat 3:16.65s, mengatasi rekod lama 3:16.82s yang dilakar pada edisi 2019.

Vietnam meraih pingat perak dengan catatan 3:20.01s.

Sementara itu, seorang lagi perenang negara, Bryan Leong, menamatkan saingan di tempat kelima acara 50m kuak kupu-kupu lelaki selepas mencatat 24.55s.

Pingat emas dimenangi perenang Singapura, Teong Tzen Wei, dengan catatan terpantas 23.24s, diikuti rakan senegaranya, Quah Zheng Wen, yang meraih perak manakala gangsa menjadi milik Noguchi Logan Wataru dari Filipina dengan masa 23.97s.

Saingan renang Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berakhir esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan