BUKIT MERTAJAM, 14 Dis (Bernama) -- Projek pembinaan sekolah berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mula dilaksanakan pada Mei tahun ini disifatkan sebagai pemangkin perubahan dalam usaha menangani isu sekolah dan kelas padat di seluruh negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) itu kebanyakan siap sepenuhnya dalam tempoh hanya beberapa bulan.
“Sebenarnya di peringkat KPM dan JKR, kami sudah mula pada Mei 2025 dan kebanyakannya telah pun siap 100 peratus. Ia menjadi antara reformasi penting KPM dalam aspek pembangunan serta infrastruktur pendidikan negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di sini hari ini.
Fadhlina berkata pembinaan sekolah IBS memberi kesan langsung kepada keupayaan kementerian untuk menangani isu kesesakan sekolah secara pantas dan berkesan.
Beliau berkata projek berkenaan melibatkan sebanyak 127 pembinaan di seluruh negara, dengan 70 daripadanya tertumpu di Selangor, negeri yang berdepan isu kepadatan sekolah paling ketara.
“Tempoh pembinaan yang singkat membuktikan pendekatan itu praktikal dan berkesan untuk dilaksanakan secara lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata KPM merancang untuk melaksanakan projek berkenaan secara besar-besaran pada tahun hadapan, selain memastikan penggunaan kemudahan dan kelas yang siap sepenuhnya bermula pada sesi persekolahan baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial