Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 14 Dis (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk menempah tempat ke perlawanan akhir apabila berdepan tuan rumah Thailand dalam separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala, di sini esok.
Ketua Jurulatih Mohd Nafuzi Zain menyifatkan pertembungan itu, sebagai perlawanan paling penting buat Harimau Muda setakat ini dalam kejohanan berkenaan, sambil mengibaratkan separuh akhir tersebut sebagai “final sebenar” memandangkan taruhan yang tinggi.
Beliau berkata para pemain berada dalam motivasi tinggi dan sedar sepenuhnya terhadap cabaran yang dibawa Thailand, sambil menegaskan kepentingan persiapan rapi, disiplin serta rasa hormat terhadap pihak lawan.
“Esok merupakan perlawanan yang sangat penting buat kami sebagai sebuah pasukan dan semua orang teruja untuk beraksi dalam separuh akhir ini. Bagi kami, ia terasa seperti final sebenar kejohanan,” katanya kepada sidang media praperlawanan di sini.
Nafuzi mengakui kualiti yang dimiliki dalam skuad serta barisan kejurulatihan Thailand, namun menyatakan keyakinan terhadap kemampuan pemainnya untuk melaksanakan pelan permainan yang dirancang.
“Amat sukar untuk beraksi menentang Thailand. Mereka mempunyai jurulatih yang sangat baik serta pemain berkualiti, jadi kami perlu membuat persiapan rapi dan bermain mengikut cara permainan kami sendiri. Sama ada perlawanan berlangsung selama 90 atau 120 minit, kami perlu bersedia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Thailand Thawatchai Damrong-Ongtrakul mengakui pasukannya berada di bawah tekanan sebagai tuan rumah kejohanan, namun menegaskan bahawa jangkaan tersebut diterjemahkan kepada azam dan tekad dalam usaha memburu pingat emas.
Beliau berkata tekanan itu terutama datang daripada para penyokong, namun fokus pasukan kekal sepenuhnya untuk memenangi kejuaraan.
“Sebagai tuan rumah, memang ada tekanan tetapi kami mahu menukar tekanan itu menjadi dorongan. Matlamat kami adalah untuk memenangi pingat emas dan menggembirakan para pemain serta penyokong,” katanya.
Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi.
Kali terakhir skuad kebangsaan menamatkan saingan di podium adalah apabila mereka memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir esok menyaksikan Vietnam berdepan Filipina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial