ISTANBUL, 14 Dis (Bernama-Anadolu) -- Kualiti udara di ibu negara India, New Delhi, merosot ke tahap teruk baharu pada Ahad, sementara pihak berkuasa melaksanakan langkah-langkah antipencemaran untuk membendung jerebu dan menggesa golongan terutamanya yang berisiko tinggi untuk kekal di dalam rumah, lapor Anadolu Ajansi.
Indeks Kualiti Udara di Delhi mencatat skor teruk 491 daripada 500 pada pagi Ahad, menunjukkan peningkatan daripada bacaan 441 pada petang Sabtu, menurut data Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat.
Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara semalam mengaktifkan Tahap 4, peringkat tertinggi Pelan Tindakan Respons Berperingkat di tengah-tengah pencemaran teruk, berdasarkan kenyataan Kementerian Alam Sekitar, Perhutanan dan Perubahan Iklim India.
Pelan tindakan itu mengehadkan kemasukan trak diesel lama, menghentikan aktiviti pembinaan termasuk projek awam, serta melaksanakan persekolahan hibrid.
Pihak berkuasa menasihati penduduk supaya kekal di dalam rumah, terutamanya kanak-kanak dan individu dengan masalah pernafasan atau jantung, serta memakai pelitup muka jika perlu keluar.
Suruhanjaya itu berkata menyatakan kemerosotan kualiti udara disebabkan kelembapan tinggi dan perubahan arah angin yang menghalang pencemaran daripada menyebar serta menyumbang kepada pembentukan jerebu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial