WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INSIDEN PUTRA HEIGHTS, TRAGEDI FRU DAN NAHAS UPSI ANTARA CORETAN DUKA 2025

15/12/2025 11:44 AM

Oleh Noraizura Ahmad dan Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Tahun 2025 turut dikenang dengan rentetan beberapa peristiwa tragis memilukan dan menggemparkan negara yang bukan sahaja meragut nyawa tetapi turut membuka ruang kepada penilaian aspek keselamatan, tahap kesiapsiagaan dan kesedaran awam.

Daripada kebakaran besar, kemalangan jalan raya yang meragut nyawa dan operasi menyelamat di gunung, setiap tragedi itu memberi isyarat jelas tentang garis panduan dan cabaran yang perlu ditangani untuk melindungi masyarakat.

Antara insiden paling menggemparkan ialah kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang meninggalkan trauma kepada penduduk di Taman Putra Harmoni, Kampung Tengah, Kampung Kenangan dan Kampung Sungai Baru apabila hari kedua perayaan Aidilfitri yang sepatutnya meriah bertukar cemas sekelip mata.

Tragedi pada 1 April menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 lagi tidak terjejas.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.

Pada 30 Jun, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (semasa itu) mengesahkan tiada unsur khianat, sabotaj atau kecuaian yang menyebabkan kerosakan kepada paip gas sehingga boleh mencetuskan letupan tersebut.

Hanya berselang beberapa minggu, negara dikejutkan dengan kemalangan tragis meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melibatkan trak pasukan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada 13 Mei.

Insiden pada 8.50 pagi juga mencederakan sembilan lagi anggota dengan trak itu merupakan sebahagian daripada konvoi pasukan yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tamat penugasan OPS Chariot di Teluk Intan, Perak.

Kurang sebulan kemudian, negara sekali lagi dikejutkan dengan antara kemalangan jalan raya terburuk dalam tempoh sedekad apabila 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Kemalangan berlaku pada 1.10 pagi 9 Jun semasa bas yang disewa khas itu membawa 42 penuntut UPSI berusia dari 21 hingga 23 tahun pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak dari Jertih, Terengganu selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha. 

Laporan awal Pasukan Petugas Khas dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 18 Julai mendapati kelajuan bas melebihi dua kali ganda had laju ditetapkan sebagai antara punca kemalangan itu.

Selain itu, kejadian menimpa pendaki Mustaqqeem Mansoor, 34, turut mendapat perhatian negara apabila ditemukan meninggal dunia seorang diri akibat hipotermia di Gunung Liang berhampiran Tanjung Malim, Perak, pada 16 Okt, iaitu dua hari selepas dilaporkan hilang.

Mustaqqeem mengikuti ekspedisi mendaki Trans Slim pada 10 Okt bersama-sama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang ke Gunung Liang sebelum dikatakan mengalami sakit kaki dengan kali terakhir dilihat pada 10.30 malam 14 Okt. 

Operasi mencari dan menyelamat bermula pada 16 Okt melibatkan 43 anggota pelbagai agensi selepas isterinya membuat laporan kehilangannya.

Mangsa ditemukan pada 3.30 petang di puncak Gunung Liang dengan kesan pendarahan pada hidung dan jenazah dibawa turun oleh pasukan Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 17 Okt.

Semasa 2025 semakin menutup tirai, setiap insiden itu walaupun berbeza konteks, namun berkongsi naratif sama yang memberi pengajaran bahawa aspek keselamatan dan empati tidak boleh dipandang ringan bagi melindungi nyawa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan