WILAYAH - TIMUR > BERITA

PENOLONG ARKITEK RUGI LEBIH RM67,000 DIPERDAYA SINDIKET KERJA SAMBILAN

15/12/2025 12:19 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Dis (Bernama) -- Seorang penolong arkitek landskap wanita kerugian RM67,789 selepas diperdaya sindiket kerja sambilan tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 12 Dis lepas, mangsa berusia 20 tahun telah melihat tawaran kerja sambilan di laman sosial Instagram.

Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan kemudian menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan diminta mengisi maklumat peribadi kononnya bagi memulakan pekerjaan dengan sebuah syarikat pakaian berjenama.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Kubang Parit, di sini, seterusnya diarahkan untuk berhubung dengan rakan suspek melalui aplikasi Telegram dan membuat bayaran pendaftaran sebanyak RM10.

“Selepas itu, mangsa diminta memasuki satu laman sesawang bagi membeli barangan secara rawak untuk memperoleh komisen. Bagaimanapun, mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu dan wang berkenaan dijanjikan akan dipulangkan bersama komisen ke dalam akaunnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa pada mulanya berasa gembira apabila menerima pulangan wang dan komisen bagi dua tugasan pertama.

Menurut beliau, mangsa yang semakin yakin kemudian menyelesaikan 14 tugasan lain, namun gagal memperoleh sebarang keuntungan atau pulangan wang seperti dijanjikan.

“Mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM67,789 ke lima akaun bank berbeza bagi tugasan yang dilakukan dalam tempoh 12 hingga 14 Dis lepas.

"Mangsa membuat laporan polis pada 10.29 malam tadi selepas gagal mendapatkan pulangan wang dan komisyen dijanjikan, selain tidak berjaya menghubungi suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan