WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERUMAHAN FASA KEDUA MANGSA BANJIR PUING BALING SIAP, 17 KELUARGA TERIMA RUMAH BAHARU

13/12/2025 08:00 PM

BALING, 13 Dis (Bernama) -- Projek pembinaan perumahan fasa kedua di Kampung Bok Bak, di sini bagi menempatkan 17 keluarga mangsa banjir puing Kampung Iboi, yang telah siap diharap dapat memberi keselesaan dan menjamin keselamatan penduduk terlibat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata projek rumah ganti itu diberikan kepada penduduk yang kediaman mereka terjejas akibat tragedi yang berlaku pada 4 Julai 2022.

“Prihatin dengan nasib mereka, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pembinaan 17 unit rumah baharu lengkap dengan kemudahan infrastruktur, manakala proses pengambilalihan tanah telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kos RM500,000.

“Saya sempat melihat sendiri keadaan rumah yang telah siap dan berpuas hati dengan kualiti pembinaannya. Saya berharap ia dapat memberi keselesaan dan keselamatan kepada penerima,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Banjir di Kampung Bok Bak, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah berkata projek pembinaan fasa kedua itu telah dimulakan pada 24 Mac tahun lepas dan siap pada 25 Julai tahun ini.

Walaupun terdapat dua permohonan lanjutan tempoh, beliau berkata projek tersebut berjaya disiapkan dengan sebaiknya dan dapat didiami penerima, khususnya menjelang Ramadan akan datang. 

Beliau berkata kerjasama baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan serta semua pihak terlibat membolehkan projek berkenaan dilaksanakan dengan lancar.

Mengulas perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata projek pembinaan Empangan Sabo bagi mengurangkan risiko banjir aliran puing di kawasan terbabit telah siap sepenuhnya.

“Susulan banjir terburuk yang melanda Baling, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM22.8 juta bagi pembinaan Empangan Sabo.

“Beberapa bulan lalu saya melawat empangan tersebut dan mendapati prestasi kerja jauh mendahului jadual, dan hari ini saya dimaklumkan projek itu telah siap,” katanya.

Pada 4 Julai 2022, tragedi banjir puing di Kampung Iboi mengorbankan tiga sekeluarga selain menyebabkan 12 keluarga kehilangan tempat tinggal dan menjejaskan 17 kediaman lain.

Sebelum ini, projek pembinaan perumahan fasa pertama bagi menempatkan 12 keluarga terlibat telah siap dan kesemua yang terlibat telah menduduki rumah mereka di Kampung Sadek, di sini pada Jun tahun lepas.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan