WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SABAH PERLU BANGUN INDUSTRI PERIKANAN LAUT DALAM BERDASARKAN RANTAIAN NILAI - ARTHUR

15/12/2025 03:28 PM

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Sabah perlu membangunkan industri perikanan laut dalam secara menyeluruh berdasarkan rantaian nilai merangkumi infrastruktur pendaratan, kemudahan pemprosesan berteknologi tinggi, sistem logistik sejuk serta akses pasaran eksport.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sook Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pendekatan itu penting bagi meningkatkan nilai tambah hasil laut Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata Sabah mempunyai kelebihan struktur dan geografi yang jarang dimiliki oleh wilayah lain di rantau ini.

Justeru, katanya, potensi itu wajar dimanfaatkan secara strategik sebagai lubuk emas baharu ekonomi negeri melalui pelaksanaan agenda Ekonomi Biru berasaskan perancangan, data dan teknologi.

“Pada masa sama, Sabah mempunyai kelebihan strategik yang jelas dalam pembangunan Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) apabila menjadi negeri pertama di ASEAN meluluskan Enakmen OTEC.

“Kedudukan geografi dikelilingi lautan luas serta perbezaan suhu laut sesuai meletakkan Sabah sebagai lokasi ideal bagi penjanaan tenaga bersih dan mampan berasaskan laut,” Katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Arthur (BN-Sook) berkata kajian menunjukkan Sabah berpotensi menjana sehingga 20,000 megawatt tenaga melalui OTEC di pantai barat dan pantai timur, selain pembangunan OTEC itu juga adalah selari dengan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 serta agenda Ekonomi Biru Sabah.

Beliau berkata walaupun pelaksanaan sepenuhnya memerlukan masa, namun pembangunan pada skala awal sudah memadai untuk menyumbang bekalan tenaga besar termasuk bagi penghasilan hidrogen hijau serta memperkukuh keselamatan tenaga dan sasaran sifar karbon.

Menurutnya, dengan kerjasama strategik kerajaan bersama institusi akademik dan industri, OTEC berpotensi menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran serta meletakkan Sabah sebagai hab tenaga lestari dan pemacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Dengan hala tuju jelas dan pendekatan berasaskan sains serta teknologi, agenda Ekonomi Biru berpotensi menjadikan Sabah bukan sahaja pemain utama ekonomi maritim serantau, malah sebuah wilayah yang berupaya muncul sebagai pengeksport tenaga bersih dalam landskap tenaga bersih negara pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) berkata tumpuan serius perlu diberikan untuk memperkasa perikanan hiliran dengan membina kilang pemprosesan hasil laut sebagai usaha memastikan nilai ekonomi sektor itu dapat ditingkatkan.

Beliau berkata pembinaan kilang pemprosesan hasil laut khususnya sardin, ikan bilis, produk ikan sejuk beku dan produk nilai tambah berasaskan hasil laut penting bagi menstabilkan harga hasil tangkapan nelayan.

Langkah itu juga, katanya, mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dan meningkatkan nilai eksport hasil laut Sabah.

“Nelayan kita bekerja keras di laut, tetapi keuntungan besar hilang di peringkat pemprosesan dan pemasaran. Belanjawan negeri perlu memutuskan rantaian ini dengan campur tangan strategik kerajaan. Jika pertanian adalah jaminan keselamatan makanan, maka perikanan adalah jaminan ekonomi biru Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan