IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Polis merekodkan penurunan keseluruhan kes kemalangan jalan raya di Perak bagi tempoh Januari hingga November 2025, hasil pematuhan undang-undang lalu lintas serta pelaksanaan langkah penguatkuasaan berterusan.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 39,259 kes kemalangan dicatatkan berbanding 40,016 kes bagi tempoh sama tahun lepas, sekali gus menunjukkan penurunan 757 kes atau dua peratus.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 556 kes kemalangan maut direkodkan pada tahun ini berbanding 587 kes bagi tempoh sama pada 2024, iaitu penurunan 31 kes atau lima peratus.
“Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya turut menurun apabila 610 kematian direkodkan pada 2025 berbanding 626 kematian pada 2024, iaitu pengurangan 16 kematian atau tiga peratus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya (OPS Kerja) Tahun 2025 di Unisem Ipoh di sini hari ini.
Beliau berkata bagi kemalangan melibatkan kecederaan ringan, sebanyak 270 kes direkodkan pada 2025 berbanding 1,091 kes bagi tempoh sama tahun lepas, menunjukkan penurunan ketara iaitu 821 kes atau 75 peratus.
Noor Hisam berkata kemalangan yang hanya melibatkan kerosakan kenderaan turut mencatatkan penurunan apabila 37,531 kes direkodkan tahun ini, berbanding 38,010 kes pada tahun lepas, iaitu pengurangan 479 kes.
“Secara purata, 117 kes kemalangan direkodkan setiap hari sepanjang tempoh Januari hingga November 2025, berbanding 120 kes sehari bagi tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata walaupun trend keseluruhan menunjukkan penurunan, Polis Perak memandang serius peningkatan ketara kemalangan melibatkan beberapa kategori kenderaan, khususnya motosikal, lori dan bas.
“Statistik kematian mengikut jenis kenderaan menunjukkan penunggang motosikal masih mencatatkan angka tertinggi iaitu 436 kematian, diikuti kereta (74), lori (36), bas (15) dan kenderaan pacuan empat roda (sembilan).
“Polis Perak akan terus melaksanakan langkah-langkah intervensi tambahan bagi membendung peningkatan kemalangan melibatkan motosikal, bas dan lori demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial