KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Poh Kong Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi suku pertama tahun kewangan 2026, berakhir 31 Okt, 2025 (S1 TK2026) kepada RM39.61 juta daripada RM21.34 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Hasil bagi syarikat barang kemas itu juga meningkat kepada RM439.94 juta daripada RM329.28 juta tahun lalu, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk barang kemas daripada emas dan produk pelaburan emas, serta lonjakan harga emas.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata keuntungan bersih yang meningkat sebanyak RM18.27 juta disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi dan trend kenaikan harga emas secara keseluruhan.
Poh Kong juga berkata pendapatan kumpulan itu sebahagian besarnya diperoleh daripada segmen runcit.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata industri barang kemas daripada emas di Malaysia menunjukkan pertumbuhan dan daya tahan yang kukuh tahun ini, didorong oleh permintaan tempatan dan antarabangsa.
“Pasaran barang kemas berpotensi untuk terus berkembang dan kami menjangkakan trend kenaikan harga emas akan berterusan sehingga 2026.
“Walaupun terdapat faktor seperti inflasi dan turun naik nilai mata wang, kami percaya pembelian kukuh oleh bank pusat, perbelanjaan pengguna dan permintaan aset selamat yang meningkat di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik global akan terus menyokong permintaan untuk barang kemas dan produk pelaburan emas,” katanya.
Kumpulan itu berkata ia akan terus memantau kesan ketidaktentuan semasa ke atas operasinya, menegakkan serta menunaikan kewajipan kewangan dan sentiasa menilai prestasi Poh Kong.
“Sekiranya tidak berlaku sebarang keadaan yang di luar jangka, lembaga pengarah yakin kumpulan telah melaksanakan langkah-langkah yang mencukupi untuk menghadapi cabaran pada tahun kewangan yang berakhir 31 Julai, 2026,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial