WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA: HARIMAU MUDA GAGAL KE FINAL, FOKUS BERALIH KEPADA GANGSA

15/12/2025 11:43 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan gagal menempah tempat dalam final bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 selepas tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional Rajamangala, di sini malam ini.

Thailand membuka jaringan awal pada minit kelapan apabila sepakan percuma Yotsakon Burapha dari luar kotak penalti tepat ke bucu kiri gawang, menewaskan penjaga gol negara Sharani Zulhilmi.

Malaysia cuba bangkit dengan beberapa percubaan termasuk tandukan kencang Danish Hakimi Sahaludin pada minit ke-13, tetapi berjaya ditampan penjaga gol Thailand Phosaman Sorawat. 

Cabaran skuad Harimau Muda bertambah getir apabila pertahanan kanan Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil diarah keluar padang pada minit ke-16 selepas menerima kad kuning kedua, meninggalkan pasukan beraksi dengan 10 pemain sepanjang baki perlawanan.

Beberapa percubaan lain gagal diterjemahkan kepada jaringan termasuk sepakan percuma Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon pada minit ke-29 dan percubaan solo Muhamad Faris Danish Mohd Asrul (minit ke-33).

Bersambung pada babak kedua, anak buah Mohd Nafuzi Zain menggandakan intensiti permainan dan berjaya mengancam kubu lawan menerusi percubaan Muhammad Haykal Danish pada minit ke-48 dan Muhammad Haqimi Azim Rosli (minit ke-62). 

Thailand hampir menggandakan jaringan pada minit ke-70 melalui sepakan leret Yotsakon Burapha dan rembatan deras Thanakrit Chotmuangpak pada minit ke-76, memaksa Sharani bekerja keras di gawang.

Pada penghujung permainan, skuad negara hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-90 apabila percubaan pemain gantian Haiqal Hashim Rohisham sedikit tersasar ke kanan gawang sebelum pengadil meniupkan wisel penamat.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia akan membuat perhitungan dengan Filipina dalam perlawanan penentuan gangsa di sini, Khamis ini.

Filipina tewas 0-2 kepada Vietnam dalam satu lagi aksi separuh akhir pada sebelah petang.

Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan semasa edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa dalam edisi 2021 di Hanoi.

Kali terakhir skuad kebangsaan menamatkan saingan di podium adalah apabila mereka memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan