KUCHING, 16 Dis (Bernama) -- Rundingan komersial yang sedang berlangsung di antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berjalan lancar dan menuju ke arah penyelesaian yang saling menguntungkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata keputusan rundingan itu dijangka diketahui awal tahun hadapan.
“Kami sedang meneliti penyelesaian secara komersial kerana jika hanya bergantung kepada tafsiran perundangan, ia akan mengambil masa yang lebih lama berikutan proses mahkamah yang kompleks,” katanya ketika berucap pada satu sesi di Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua pihak perlu duduk bersama dan meneroka semua bidang yang boleh bekerjasama selain ia akhirnya akan memberi manfaat bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada komuniti perniagaan, selaras dengan pendekatan menang-menang.
Pada 21 Mei lepas, dalam satu deklarasi bersama yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Perdana Putra, Putrajaya, diumumkan Petronas akan terus memenuhi fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipan yang dimandatkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) serta peraturan berkaitan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata prinsip-prinsip asas telah dipersetujui bagi memudahkan rundingan selanjutnya di antara Petronas dengan Petros.
Katanya, deklarasi bersama berkenaan mengiktiraf undang-undang Persekutuan dan negeri, status perjanjian sedia ada serta penubuhan rangka kerja kerjasama di antara Petronas dengan Petros.
“Semua undang-undang Persekutuan dan negeri yang berkaitan dengan pengagihan gas di Sarawak mesti wujud bersama selain dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti tersebut di negeri ini termasuk Petronas dan Petros,” kata kenyataan itu.
PMO menekankan bahawa Petronas dan Petros perlu bekerjasama bagi memajukan lagi rangka kerja kerjasama selaras dengan kepentingan negara dengan berpandukan prinsip yang telus serta berdaya maju dari segi komersial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial