WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIGA MAUT: REMAJA TUKAR PENGAKUAN KEPADA BERSALAH MEMANDU BERBAHAYA

17/12/2025 03:20 PM

SEREMBAN, 17 Dis (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian tiga individu pada Mac lepas.

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menetapkan 25 Feb depan untuk fakta kes dan penyediaan laporan sosial sebelum menjatuhkan hukuman terhadap remaja itu.

Remaja itu didakwa memandu kenderaan Honda Jazz secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17, di Jalan Persiaran Senawang 1 pada 8.30 malam 6 Mac.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini, manakala remaja berkenaan diwakili peguam Arif Azmi.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan remaja berusia 17 tahun itu pada 19 Nov lepas, untuk mengkaji pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga remaja maut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan