WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGANGGUR MENGAKU TIDAK SALAH MILIKI PISTOL, TAKUTKAN JIRAN

17/12/2025 03:26 PM

SUNGAI PETANI, 17 Dis (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah, baru-baru ini.

Kor Wei Ye, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Sigarms berwarna silver (perak) tanpa kebenaran yang sah di sebuah rumah di Bandar Laguna Merbok dekat sini, pada 9 pagi, 7 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan bagi kes berkenaan dan hakim menetapkan 21 Jan tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala tertuduh diwakili peguam Chong Choon Yuen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, Kor mengaku tidak bersalah atas lima lagi pertuduhan termasuk memiliki 10 butir peluru tanpa lesen, tiga kes menakutkan secara jenayah terhadap tiga individu berbeza, serta memiliki dadah jenis ketamin.

Kor dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama dia didakwa memiliki pistol tanpa kebenaran sah.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi menetapkan tarikh serahan laporan kimia bagi kes dadah pada 21 April tahun hadapan, manakala bagi kes lain ditetapkan pada 21 Jan 2026.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan tertuduh diwakili peguam yang sama.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan