WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS REKOD NILAI RAMPASAN RM82.1 JUTA, PERLUAS SKOP OPERASI PADA 2026 - MOHD SHUHAILY

17/12/2025 07:07 PM

PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan nilai rampasan keseluruhan hampir RM82.1 juta hasil pengoperasian di pintu masuk negara setakat hari ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata pencapaian itu merangkumi rampasan berkaitan dadah sebanyak 205,154 gram bernilai hampir RM20.2 juta, rampasan kategori kesihatan melibatkan barangan perubatan dan bahan kimia bernilai RM1.4 juta serta rampasan bernilai hampir RM60 juta oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“AKPS juga telah mengambil alih peranan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) secara rasmi mulai 1 Okt lepas dengan nilai rampasan direkodkan setakat ini berjumlah RM222,519, manakala rampasan melibatkan barangan bersubsidi seperti minyak diesel dan kenderaan bermotor serta seumpamanya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM183,590,” katanya pada sidang media berkaitan hala tuju AKPS 2026 di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kawalan pintu masuk rasmi negara merupakan tugasan yang sangat kompleks memandangkan AKPS masih sebuah agensi baharu serta mewarisi pelbagai isu legasi merentas aspek disiplin, aset dan operasi daripada pelbagai jabatan teras.

Agensi berkenaan katanya ialah JKDM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), JPJ, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan (KKM) serta MAQIS.

“Pada masa ini, AKPS diperkukuh dengan lebih 6,000 pegawai yang ditempatkan di 22 pintu masuk negara. Tahun hadapan, kita dijadualkan mengambil alih baki pintu masuk negara hingga melebihi 120 pintu masuk dan cabaran utama adalah memastikan pengisian anggota mencukupi bagi menjadikan pintu masuk ini selamat serta penugasan yang lebih efisien dan berkesan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata dapatan Pasukan Nukleus Single Border Agency (SBA) mencadangkan kekuatan optimum AKPS adalah sebanyak 13,721 pegawai, namun jumlah sedia ada ketika ini hanya sekitar separuh daripada keperluan tersebut, sekali gus menjadikan isu sumber manusia sebagai cabaran paling mendesak.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan menerusi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah memberi keutamaan dalam hal berkenaan dan kini berusaha keras bersama AKPS merealisasikan impian itu.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata penggunaan teknologi termasuk pemasangan pagar automatik serta penaiktarafan sistem lama Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang telah berusia puluhan tahun dijangka dapat mempercepat aliran keluar masuk pengembara, mengurangkan kebergantungan kepada sumber manusia serta menutup ruang kepada aktiviti tidak sihat seperti counter-setting dan flying passport.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai bersabar kerana proses migrasi dan penaiktarafan sistem baharu itu berpotensi berdepan gangguan teknikal pada peringkat awal, selain ciri keselamatan sistem turut akan diperkukuh bagi memastikan hanya individu yang layak dibenarkan masuk atau keluar dari negara.

Mohd Shuhaily berkata AKPS turut dijangka memperluas skop operasi ke pintu masuk kargo dan pelabuhan seawal tahun hadapan selepas fasa penstabilan operasi melibatkan pengembara berjaya dicapai.

“Pada peringkat awal, kejayaan AKPS lebih ketara dalam konteks pengurusan dan kawalan pergerakan pengembara di pintu masuk rasmi negara. Selepas operasi distabilkan, diharapkan mulai tahun hadapan kita dapat memperluas skop operasi bagi memperhalusi dan memperkemas kawalan di pelabuhan serta pintu masuk kargo,” katanya.

Mengulas liputan kawalan sempadan, beliau berkata AKPS dijangka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pintu sempadan negara, tertakluk kepada pewartaan Akta AKPS serta pelaksanaan fasa kedua pengisian pegawai.

“Proses pewartaan Akta AKPS sedang berjalan termasuk pelaksanaan fasa kedua pengisian pegawai, dan perkara ini sedang diusahakan bersama Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Mohd Shuhaily berkata pencapaian operasi AKPS setakat ini membuktikan bahawa isu legasi yang diwarisi bukan semata-mata bersifat negatif, sebaliknya turut merangkumi kekuatan sumber manusia serta kejayaan terdahulu yang wajar diteruskan.

“Kejayaan hari ini menzahirkan bahawa bukan hanya isu legasi yang kurang baik yang kita warisi, tetapi juga pegawai-pegawai serta pencapaian legasi yang perlu diteruskan. Bukan semua itu buruk, hanya segelintir sahaja. Yang baik dan yang cemerlang perlu diiktiraf sebagai baik dan cemerlang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan