WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAIH TIGA EMAS, KEM MUAY THAI LEPASI SASARAN

17/12/2025 08:48 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 17 Dis (Bernama) -- Skuad Muay Thai negara melebihi sasaran satu pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 apabila membawa pulang tiga emas pada hari terakhir saingan di Stadium Tinju Lumpinee di sini hari ini.

Dua daripada tiga emas kem negara hadir menerusi acara tempur, dengan Wassof Rujiman dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar masing-masing menundukkan atlet tuan rumah.

Wassof, yang sebelum ini memenangi gangsa acara kickboxing pada edisi 2023 di Kemboja, melakar kejayaan dramatik dalam kategori 54 kilogram (kg) lelaki selepas menewaskan Thongchai Huanak 29-28 dalam pertarungan tiga pusingan.

Kemuncak pencapaian Malaysia hadir selepas Muhammad Mikail atau lebih dikenali Miki Ghazali yang juga adik kepada jaguh Muay Thai negara Muhammad Johan atau Johan Ghazali, menundukkan Suphakon Sirilun 29-28 dalam kategori 57kg lelaki, walaupun berdepan sorakan padu penonton tuan rumah.

Terdahulu, Angie Yan Jia Chi mencipta sensasi pada penampilan sulung Sukan SEA apabila memenangi emas acara Wai Kru wanita, mengatasi juara dunia Thanawan Thongduang.

Selain itu, Malaysia turut merangkul tiga perak menerusi Eva Anatasia Warren dalam kategori 48kg wanita, Insyad Rumijam (51kg lelaki) dan Nur Amisha Azrilrizal dalam saingan 51kg wanita.

Pencapaian tiga emas dan tiga perak menyaksikan peningkatan dicatat kem negara selepas hanya mengutip masing-masing satu emas dan perak pada edisi 2021 di Vietnam sebelum acara Muay Thai tidak dipertandingkan pada edisi 2023 di Kemboja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan