WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUN SABAH LULUS BELANJAWAN 2026

17/12/2025 06:53 PM

KOTA KINABALU, 17 Dis (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM6.402 bilion.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 (Belanjawan Sabah 2026) itu disokong majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melalui undian suara selepas sesi perbahasan dan penggulungan sejak Isnin lepas.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya mengumumkan perkara itu selepas bacaan kali ketiga RUU berkenaan oleh Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

Pada Jumaat lepas, Masidi membentangkan belanjawan bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’ berjumlah RM6.402 bilion, dengan anggaran lebihan RM28 juta.

Kerajaan Sabah mengunjurkan hasil RM6.43 bilion pada tahun depan sekali gus menjadikannya belanjawan lebihan.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan itu hari ini, Masidi berkata beberapa langkah strategik dilaksanakan termasuk semakan teliti terhadap dasar Cukai Jualan Negeri (CJN), peningkatan sesi libat urus dengan pembayar cukai serta penstrukturan semula Unit CJN kepada sebuah bahagian penuh bagi memperkukuh tadbir urus fiskal.

“Semakan semula dasar CJN sedang dilaksanakan secara teliti bersama agensi berkaitan melalui Jawatankuasa Teknikal dan sesi libat urus dengan pembayar cukai bagi memahami realiti operasi industri secara lebih mendalam serta memastikan dasar kerajaan kekal responsif terhadap keperluan semasa sektor ekonomi.

“Kerajaan akan terus menilai dan menambah baik struktur sedia ada dan dalam perancangan menaik taraf bahagian ini kepada sebuah jabatan penuh agar perancangan dasar dapat dilaksanakan secara lebih strategik,” katanya.

Kadzim kemudian menangguhkan persidangan itu ke tarikh yang akan diberitahu kelak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan