WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MESYUARAT BINCANG PEMULANGAN 40 PERATUS HASIL SABAH DIADAKAN JUMAAT INI - HAJIJI

17/12/2025 10:03 PM

KOTA KINABALU, 17 Dis (Bernama) -- Mesyuarat bagi membincangkan lanjut mengenai pemulangan 40 peratus hasil Sabah antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan dijangka berlangsung Jumaat ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meminta semua pihak agar bersabar terutamanya berhubung mekanisme formula pembayaran serta isu lain yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tidak perlulah kita bincangkan itu, persoalkan di sini kerana ada satu lagi mesyuarat akan diadakan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, kalau saya tidak silap 19 Dis ini.

“Kita tunggulah… mekanisme formula pembayaran itu. Kalau tanya saya sebagai anak Sabah, saya ikut Perlembagaan sahaja. Selesai. Hal ini telah kita kemukakan berkali-kali dalam mesyuarat MA63,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi 1974 hingga 2021.

Hajiji berkata beliau percaya sebarang rundingan mengenai isu 40 peratus hasil Sabah itu akan dibuat berasaskan kepada keputusan mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan Sabah akan membawa cadangan berkaitan pindaan Perlembagaan untuk membolehkan negeri mengutip sendiri sumber hasil tertentu ke mesyuarat Kabinet negeri akan datang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan